Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Fatwa alam sekitar, ulama jangan tahu hukum saja'

Pensyarah Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Datuk Profesor Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid menasihati golongan ulama supaya tidak sesuka hati menghukum seseorang dengan mengeluarkan fatwa berkaitan alam sekitar.

Sebaliknya katanya, ulama seharusnya memainkan peranan menasihati masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar berdasarkan kajian Al Quran dan Sunnah.

“Sekadar buat fatwa kata itu tak boleh ini tak boleh, orang akan kata ulama ini hanya tahu cakap pasal halal dan haram sahaja. Ulama boleh bagi nasihat tetapi bukan menjadi penghukum,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Muzakarah Pakar Ulama dan Alam Sekitar Kewajaran Fiqh al-Bi’ah di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jalan Duta.

Katanya ulama seharusnya menerangkan kepada Jabatan Alam Sekitar berkenaan sesuatu fatwa berkaitan alam sekitar dan tidak terus menjatuhkan sesuatu hukum tanpa sebaran perbincangan.

“Saya nak nasihat kepada Ulama kalau nak campur (berkenaan alam sekitar) ia perlu dengan cara intelek yang tinggi, buat kajian baru. Buat berdasarkan Al Quran dan Sunnah,” katanya.

Baru-baru ini Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan perbuatan mencemarkan alam sekitar dan memberi kesan kemudaratan fizikal secara langsung kepada manusia, haiwan dan tumbuhan adalah haram.

Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat ke-20 dan 21/2016 jawatankuasa tersebut pada 18 dan 19 Februari lalu.

Mufti enggan ulas isu bauksit

Mufti Terengganu Datuk Zulkifly Muda pula berkata masalah alam sekitar seperti penerbangan hutan dan pengurangan sumber bumi hanya akan mengakibatkan hilangnya keseimbangan alam.

“Isu ini bukan sahaja menjadi permasalahan, ini sering menjadi perbincangan hangat di barat bahkan dibincangkan pada setiap lapisan masyarakat dunia.

“Dengan kata lain krisis ini telah menjadi begitu parah sehingga kerajaan di dunia berusaha mengambil tindakan bagi menanganinya,” katanya.

Justeru katanya setiap umat Islam di negara ini hendaklah yakin bahawa pemulihan alam sekitar sangat berkait rapat dengan dasar ilmu-ilmu Islam.

Sementara itu ketika ditanya mengenai isu perlombongan bauksit di Pahang, Zulkifly bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Saya tak boleh sentuh isu ini apabila kadang-kadang boleh ditafsir bermacam-macam. Saya tak boleh ulas perkara ni. Politik pun tak boleh ulas,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS