Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Ahmad Maslan yakin Deklarasi Rakyat yang dibawa Tun Dr Mahathir Mohamad minggu lalu akan gagal.

Kata Ahmad, keyakinannya itu berdasarkan hakikat bahawa Umno dan BN tidak akan berdiam diri.

"Usaha mereka itu akan gagal. Apabila mereka (yang menyokong Deklarasi Rakyat) terus berusaha (untuk menyingkirkan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak), tidak bererti BN akan berdiam diri," katanya di sidang media di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur hari ini.

Jumaat lalu, Dr Mahathir yang juga bekas perdana menteri mengetuai kumpulan lebih 50 orang - termasuk tokoh pembangkang mewakili DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) menurunkan tandatangan sebagai bukti menyokong deklarasi berkenaan.

Selain pemimpin pembangkang, tokoh yang terlibah ialah bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Perdagangan dan Antarabangsa kini juga berkhidmat sebagai Ketua Biro Teknologi Maklumat Umno selepas jawatannya sebagai Ketua Penerangan Umno diisi Tan Sri Annuar Musa.

Malaysia selamat atau tidak

Mengulas lanjut, Ahmad mendakwa apa pun yang dilakukan pembangkang dengan kerjasama Dr Mahathir, terbukti Umno dan BN kekal mentadbir negara.

"Sejak dari dulu lagi pembangkang sebut 'Selamatkan Malaysia'. Akhirnya BN terus menang dalam pilihan raya umum ke-12 dan 13," kata Ahmad.

Bagaimanapun, Ahmad berkata beliau tetap akan mengambil pendekatan untuk terus memberi penerangan kepada rakyat dalam isu tersebut.

"Kita akan jelaskan kepada rakyat dengan kaedah penerangan melalui Tan Sri Annuar Musa dan media sosial di bawah saya," katanya.

Ahmad juga menyifatkan semua isi kandungan dalam deklarasi tersebut sudah dijawab kerajaan.

"Saya sudah baca dan majoriti (kandungan) sudah dijawab dalam pelbagai platform, tetapi mereka tidak pernah ingin setuju dengan jawapan yang diberi.

"Begitu banyak perkara positif yang dibuat sejak 2009 oleh perdana menteri dan perkara inilah yang kita akan sebarkan," katanya lagi.

Terdahulu, dalam sidang media sama Ahmad mengumuman penubuhan Keyboard Warriors iaitu gabungan sepuluh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mesra Umno untuk memberi penjelasan berhubung isu semasa di media sosial.

Ketika sidang media berlangsung seorang wakil NGO itu, Sahabat Ulil Amri, Dr Ibrahim Asyaari bertanya kepada wartawan, apakah Malaysia sebuah negara yang tidak selamat.

"Tidak perlu bangkitkan persoalan itu. Saya sudah ke seluruh dunia, Malaysia adalah negara paling selamat," katanya.

Malah, Ibrahim berkata mana-mana pihak yang berasakan Malaysia tidak selamat "boleh keluar dari negara ini".

"Kalau awak rasa Malaysia tidak selamat, lebih baik keluar dari Malaysia," katanya sebelum berlalu pergi.