Pendebat Asia dakwa disekat selepas meterai deklarasi
Pemimpin belia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa beliau disekat daripada berucap di dua universiti selepas menandatangani Deklarasi Rakyat yang menuntut penyingkiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pembaharuan institusi.
"Saya kecewa dengan campur tangan saat akhir Kementerian Pengajian Tinggi yang menghalang saya daripada bercakap di Uniten (Universiti Tenaga Nasional) dan Usim (Universiti Sains Islam Malaysia) disebabkan oleh kontroversi yang tidak berasas.
"Ini adalah program yang pada mulanya diluluskan oleh universiti masing-masing.
"Saya dimaklumkan oleh pihak penganjur bahawa saya akan membawa masuk 'provokasi luar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syed Saddiq yang dikenali sebagai pendebat utama Asia, berkata beliau dimaklumkan bahawa program berkenaan ditangguhkan sehingga "senario politik menjadi lebih baik".
Beliau dijadualkan untuk bercakap mengenai nasib Palestin, krisis pelarian dan kerja-kerja sukarela di kalangan belia.
"Ini hanya menunjukkan bagaimana terhadnya kebebasan akademik di universiti di Malaysia.
"Saya tidak tahu, saya boleh menjadi ancaman kepada pelajar universiti dengan hanya membincangkan tentang nasib saudara-saudara kita di Palestin," katanya.
Syed Saddiq adalah antara 58 pemimpin yang menandatangani Deklarasi Rakyat minggu lalu yang menampilkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama pemimpin pembangkang dan masyarakat sivil duduk semeja untuk menggulingkanNajib.

