Dr M, Muhyiddin bersekongkol dengan aktivis LGBT?
Sekumpulan 80 naib ketua bahagian Umno Malaysia hari ini menyerahkan memorandum menyokong penuh kepimpinan Datuk Sri Najib Razak dan mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipecat.
Pengerusi kumpulan itu Datuk Mohamad Anuar Mohamad Yunus berkata memorandum berkenaan dibuat kerana mereka kecewa serta tersinggung dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad bersekongkol dengan aktivis menyokong "amalan murtad, kesaksamaan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender)".
"Kami melafazkan kekecewaan dan tersinggung yang amat mendalam atas tindakan dan penglibatan Mahathir, Muhyiddin, Mukhriz serta segelintir mantan pemimpin dan ahli Umno yang bersekongkol dengan pembangkang yang berpaksikan agenda untuk menurunkan Datuk Seri Najib Razak.
"(Ia) adalah tidak berpelembagaan dengan niat utamanya agar Mukhriz dilantik menjadi perdana menteri.
"Lebih memualkan adalah mereka ini bersekongkol dengan para aktivis dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang merupakan kompenan BERSIH, Comango (Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Malaysia) dan Suaram yang antara lain memperjuangkan amalan murtad, kesaksamaan LGBT, pemansuhan jenayah syariah serta menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu (sebagai) satu bentuk pengkhianatan nyata kepada setiap jaluran asas dan prinsip perjuangan Umno," katanya kepada media di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur hari ini.
Pertimbang pemutihan Umno
Memorandun tersebut diserahkan kepada Ketua Setiausaha Ibu Pejabat Umno Malaysia, Azwan Abdul Aziz.
Jumaat lalu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai kumpulan lebih 50 orang - termasuk Lim Kit Siang dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali - dalam memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Najib sebagai perdana menteri.
Penandatangan lain termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.
Kata Mohamad Anuar (
kiri
) kumpulannya berpendapat tindakan Dr Mahathir bersekongkol dengan pembangkang khususnya DAP dianggap menentang setiap elemen serta institusi berciri Melayu-Islam.
"Kami juga menyarankan Majlis Tertinggi Umno memecat keahlian Muhyiddin, Mukhriz, Sanusi Junid, serta mana-mana pemimpin atau ahlinya yang terlibat," kata Mohamad Anuar.
Kata Mohamad Anuar lagi, MT juga perlu mempertimbangkan cadangan program pemutihan parti bagi mereka yang tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan Umno.
Sebelum ini Pergerakan Pemuda Umno Perlis mencadangkan kepada MT Umno mempertimbangkan program pemutihan bagi membersihkan parti itu daripada individu-individu yang tidak sehaluan dan taat setia bersama pucuk pimpinan parti.

