Bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh berkata pihak berkaitan tahu menyelesaikan isu yang berbangkit di Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Tanpa menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu, Idris yang merupakan anggota Parlimen Besut juga berkata, pihak terbabit juga 'tahu' apa yang mereka lakukan dan boleh selesaikan masalah tersebut.

"Saya tak ada di sana semalam. Saya tak tahu apa yang sebenarnya yang terjadi.

"(Tetapi) saya rasa mereka lakukan sesuatu yang bagus untuk Terengganu dan mereka tahu bagaimana untuk selesaikan masalah," kata anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen ketika ditanya berhubung tindakan bekas menteri besar Terengganu Datuk Ahmad Said mengemukakan usul tak percaya ke atas penggantinya Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Kemelut menteri besar bukan yang pertama di negeri itu. Idris sendiri pada 2008 pernah terpalit kontroversi sama ketika digantikan Ahmad Said.

MT Umno pada 27 Mac 2008 menyokong Idris, calon lantikan istana, selepas jalan buntu 19 hari, yang menyaksikan penentangan kasar penyokongnya, termasuk mempamerkan kain rentang "kami nak Idris, natang".

Laporan polis dibuat oleh Pemuda PAS ketika itu atas alasan menghina institusi raja.

Dewan ada hak tolak usul

Selain itu, ditanya tentang tindakan Speaker DUN Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong yang menolak usul tersebut, Idris berkata pihak Dewan mempunyai hak untuk berbuat demikian memandangkan Ahmad tidak memberi notis 14 hari sebelum mengemukakan usul berkenaan.

"Saya rasa mereka juga mempunyai hak kerana mereka tidak memberi notis 14 hari," katanya ringkas.

Semalam, Ahmad Said membentangkan usul mengikut Perkara 14(6) perlembagaan negeri yang membolehkan usul undi tidak percaya terhadap menteri besar.

Ahmad Said juga memetik Fasal 33(11) peraturan mesyuarat DUN yang menyatakan perkara-perkara bawah perlembagaan negeri tidak memerlukan notis.

Mohd Zubir bagaimanapun menolak usul itu atas alasan bahawa tiada notis diberikan dan berkata, kebenaran speaker diperlukan jika notis 14 hari itu dikecualikan.