Peguam dipercayai tiru tandatangan Noh Omar
Siasatan polis mendapati seorang peguam berumur 30-an dipercayai meniru tandatangan Timbalan Menteri Keselamatan Negeri, Datuk Noh Omar untuk membebaskan seorang ketua kongsi gelap di Sarawak baru-baru ini.
Siasatan polis mendapati seorang peguam berumur 30-an dipercayai meniru tandatangan Timbalan Menteri Keselamatan Negeri, Datuk Noh Omar untuk membebaskan seorang ketua kongsi gelap di Sarawak baru-baru ini.
Peguam tersebut mendakwa beliau kenal rapat dengan Setiausaha Sulit Noh, Kernaini Anwar, lapor akhbar Oriental Daily News hari ini.
Sebelum ini, akhbar Berita Harian pula melaporkan peguam itu pernah ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan beberapa orang pegawai polis berpangkat tinggi.
Untuk mendapatkan kepercayaan pihak polis, peguam itu dikatakan telah menjemput seorang pegawai tinggi kerajaan bagi mengesahkan surat itu dikeluarkan oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.
Bagaimanapun, pihak polis berasa sangsi terhadap surat itu. Oleh itu, mereka meminta pengesahan daripada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri. Polis mendapati kementerian itu tidak mengeluarkan arahan untuk membebaskan ketua kongsi gelap.
Noh telah mengarahkan Kernaini membuat laporan polis.
Tiga bulan lalu, Setiausaha Khas dan Setiausaha Sulitnya melawat Balai Polis Putrajaya, Balai Polis Kuala Selangor, dan Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur untuk meminta pihak polis menyiasat kes ini secara mendalam.
Mereka juga meminta laporan siasatan ini dihantar kepada Cawangan Khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Musa Hassan berkata polis memandang berat kes ini. Cawangan Khas Bukit Aman telah mengambil alih penyiasatan kes.
"Saya tidak menafikan kemungkinan terdapatnya pegawai kementerian yang berkomplot dengan pihak luar untuk meniru dokumen Kementerian Keselamatan Dalam Negeri," katanya.
Pihak polis telah mengambil keterangan beberapa orang pegawai kerajaan.
Sebelum ini, Noh sudah membuat tiga laporan polis berhubung pihak tertentu menggunakan namanya dan tanda tangan palsu setiausaha sulitnya bagi membebaskan pesalah yang terbabit dalam kes jenayah tanpa perlu melalui proses perbicaraan.
Laporan polis itu dibuat balai polis Kuala Lumpur, Putrajaya dan Kuala Terengganu bagi memastikan pihak terbabit tidak menyalahgunakan namanya dan Setiausaha Sulit beliau sebagai tiket untuk melepaskan penjenayah berkenaan.
Syarat bantuan buku mungkin dilonggarkan
Nanyang Siang Pau menyiarkan berita mengenai buku bantuan yang hanya diberikan kepada pelajar miskin mungkin diberikan juga kepada semua pelajar di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RM9).
Menteri Pelajaran, Datuk Hishamuddin Hussein berkata kementeriannya sedang menimbangkan program buku bantuan yang baru kerana terlalu ramai pelajar yang layak menerima bantuan tersebut, sehingga mencecah 83 peratus.
"Tidak mungkin semua daripada 85 peratus pelajar ini pun miskin. Oleh itu, sekiranya program buku bantuan ini telah dianggap keperluan pelajar, kami terpaksa mencari jalan untuk memberikan buku kepada semua pelajar," katanya.
Ketua Bahagian Buku Teks Kementerian Pelajaran, Abdul Rasid Yaakop menyatakan ada keluarga memberi maklumat palsu supaya anak mereka mendapat bantuan buku teks.
Pada masa ini, syarat permohonan untuk pelajar sekolah kebangsaan dan sekolah agama adalah berdasarkan kepada pendapatan keluarga ibu bapa atau penjaga di bawah RM 2,000, tanpa mengambil kira bilangan anak dan beban yang dipikul.
Syarat permohonan untuk Sekolah Cina dan Sekolah Tamil juga sama, tetapi pendapatan keluarga bulanan ibu bapa atau penjaga pemohon perlu kurang daripada RM1,000.
Bagi pelajar sekolah menengah kebangsaan, sekolah menengah agama, sekolah menengah teknik, dan sekolah menengah vokasional, pendapatan keluarga perlu berada di bawah RM700.
Keluarga yang pendapatannya RM701 sehingga RM800 perlu membeli buku untuk salah seorang anak, manakala anak yang lain boleh menerima buku bantuan kerajaan.
Sementara itu, keluarga yang pendapatannya di antara RM801 sehingga RM900 perlu membeli buku untuk dua orang anaknya, barulah anak lain dapat membuat permohonan buku bantuan.
Keluarga yang pendapatannya di antara RM901 sehingga RM1,000 pula wajib membeli buku untuk tiga orang anak supaya anak lain layak membuat permohonan.

