Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron mengesahkan bahawa BN membelanjakan lebih daripada RM1.5 bilion pada pilihan raya umum ke-13 lalu.

Bagaimanapun, katanya, jumlah itu tidak semestinya daripada derma politik yang berjumlah RM2.6 bilion yang berada di akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau mengulas dakwaan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mendakwa Najib pada pertemuan dengan ketua perhubungan Umno mengakui bahawa BN membelanjakan RM1.5 bilion untuk pilihan raya umum yang lalu.

Bercakap kepada Malaysiakini , Idris berkata, adalah jelas pada mesyuarat itu mereka dimaklumkan bahawa lebih RM1.5 bilion dibelanjakan.

"(Tetapi) saya tidak ingat perdana menteri berkata RM1.5 bilion (adalah) dari sumbangan RM2.6 bilion.

"Dia tak kata dari jumlah RM2.6 bilion itu, RM1.5 bilion telah dibelanjakan. Saya tak fikir begitu.

"Terpulang untuk berfikir sama ada ia dari sumbangan RM2.6 bilion atau dari sumber lain," katanya.

Mukhriz dalam video yang dimuat naik oleh blogger Din Turtle mempersoalkan bagaimana Najib boleh mengembalikan sejumlah RM2.03 bilion daripada RM2.6 bilion jika RM1.5 bilion dibelanjakan pada pilihan raya.

[Baca berita penuh]