Menteri integriti: Saya tak tidur masa kerja
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low kecewa usahanya memerangi rasuah tidak diketahui oleh orang awam.
Beliau berkata demikian ketika memberikan ucap utama dalam sebuah forum Perolehan Kebangsaan dan Integriti dalam Sektor Awam dan Swasta.
Beliau malah menyenaraikan usaha dan pencapaiannya semenjak dilantik sebagai menteri pada 2013.
“Ini laporan berkaitan kemajuan dan kerja saya. Sama ada kamu anggap cukup atau tidak, yang pastinya saya tidak tidur.
“Masalah kita, bagaimana saya hendak bercakap apa yang saya buat kepada orang awam? Kepada kamu golongan profesional, OK,” katanya dalam acara anjuran Institut Pentadbiran Korporat Malaysia.
Beliau bagaimanapun menyatakan keyakinannya bahawa orang ramai akhirnya akan merasakan sesuatu telah berubah menjadi lebih baik.
Low bertanggungjawab dalam hal ehwal integriti dan ketelusan dalam kerajaan.

