Warga Filipina disyaki ejen sijil kelahiran palsu ditahan
Seorang wanita warga Filipina yang disyaki menjadi ejen sijil kelahiran palsu ditahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka dalam operasi di negeri itu tengah malam tadi.
Pengarah JPN Melaka Norazle Sulaiman berkata wanita berusia 55 tahun itu ditahan di rumahnya Kampung Gelam selepas anggota penguat kuasa menemui salinan dokumen pelbagai jenis ketika pemeriksaan kira-kira pukul 12.30 tengah malam di rumah berkenaan.
"Selain disyaki menjadi ejen memalsukan sijil kelahiran, wanita tersebut turut ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
"Turut ditahan dalam operasi yang sama ialah empat wanita dan seorang lelaki warga asing kerana memiliki kad pengenalan palsu dan sijil kelahiran diragui," katanya kepada pemberita di Melaka hari ini.
Beliau berkata operasi bersepadu selama empat jam bermula 12 tengah malam tadi melibatkan 16 anggota penguatkuasa termasuk daripada Jabatan Imigresen dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
- Bernama

