Kerajaan Tganu arah semua masjid baca khutbah tentang cukai pintu
Ketika isu debat mengenai cukai pintu di Terengganu semakin diperkatakan, semua masjid di negeri tersebut diarah membaca khutbah Jumaat mengenai pentingnya membayar cukai pintu pada 28 Januari lalu.
Ketika isu debat mengenai cukai pintu di Terengganu semakin diperkatakan, semua masjid di negeri tersebut diarah membaca khutbah Jumaat mengenai pentingnya membayar cukai pintu pada 28 Januari lalu.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (Jheat), Omar Musa berkata, kerajaan negeri meminta pihaknya mengarahkan khatib membaca khutbah mengenai cukai pintu di semua masjid di Terengganu..
Berikutan itu, katanya kesemua 470 masjid di negeri itu membaca khutbah bertajuk "Cukai Pintu Ke Arah Masyarakat Yang Maju dan Harmonis" Jumaat lalu.
"Khutbah tersebut menerangkan kepada masyarakat tentang pentingnya umat Islam dan rakyat membayar cukai pintu bagi menjana pembangunan ekonomi negara untuk kepentingan bersama.
"Tiada apa-apa yang salah dengan cukai pintu yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan negeri itu kerana hasilnya adalah untuk faedah masyarakat juga. Lagipun, bukan semua orang yang kena membayar cukai pintu.
"Islam amat menggalakkan konsep saling membantu dan membayar cukai adalah salah satu caranya. Di zaman Khalifah Omar Al Khattab, mereka yang berkemampuan, membayar cukai kepada pemerintah," katanya kepada malaysiakini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bacaan khutbah di semua masjid itu tiada kena mengena dengan isu debat mengenai cukai pintu di antara Umno dan PAS yang sedang hangat diperkatakan di Terengganu.
Omar berkata, pihaknya belum memutuskan sama ada khutbah itu akan dibaca sekali lagi pada solat Jumaat akan datang.
Hantar wakil
"Jika kerajaan negeri meminta kita berbuat demikian, Jheat akan memaklumkan perkara tersebut kepada semua masjid untuk membacanya pada solat Jumaat," katanya.
Bagaimanapun, ramai yang percaya soal cukai pintu yang dibaca dalam khutbah Jumaat itu ada kaitan dengan isu debat antara PAS dan Umno yang sedang hangat diperkatakan sekarang.
Umno dan PAS pada dasarnya telah bersetuju tentang debat tersebut, malah perbincangan pusingan pertama di antara wakil dari kedua-dua parti telah diadakan baru-baru ini.
Bagaimanapun, tarikh sebenar debat belum dapat diputuskan kerana PAS kini menunggu jawapan dari Ketua Penerangan Umno Terengganu, Ahmad Shabery Chik.
Ketua Penerangan PAS negeri, Yahya Ali berkata, PAS setuju semua syarat Umno termasuk tarikh ia diadakan pada awal Mac, bertempat di Kompleks Seri Iman, Bukit Besar dan wakil pendebat.
Ahmad Shabery pula dilaporkan sebagai berkata, beliau akan menghantar wakil peribadinya untuk menemui Yahya bagi mengesahkan tarikh debat tersebut.
Isu debat mengenai cukai pintu tercetus apabila Ahmad Shabery mendakwa kerajaan negeri pimpinan PAS tidak memungut cukai pintu kerana kepentingan parti itu.
Bagaimanapun, PAS menafikan dakwaan tersebut dengan mendakwa keputusan itu dibuat sebagai memenuhi janjinya kepada rakyat Terengganu.

