Suruhanjaya khas polis diberi lanjutan tempoh tiga bulan
Tempoh bagi Suruhanjaya Khas Penambahbaikkan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong telah dilanjutkan tiga bulan lagi, memandangkan masih banyak aduan dan cadangan yang diterima.
Tempoh bagi Suruhanjaya Khas Penambahbaikkan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong telah dilanjutkan tiga bulan lagi, memandangkan masih banyak aduan dan cadangan yang diterima.
Bagaimanapun, kata Pengerusinya Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, suruhanjaya itu tidak akan melayan lagi sebarang aduan dan cadangan selepas hari ini.
Bagaimanapun, tegasnya, siasatan awam yang sedang berjalan akan diselesaikan oleh anggota suruhanjaya itu.
Suruhanya itu ditubuhkan 4 Februari tahun lalu untuk menjalankan siasatan mengenai peranan dan tanggungjawab PDRM dalam menguatkuasakan undang-undang negara, menyiasat keperluan sumber manusia PDRM, menyiasat etika kerja dan prosedur bagi kakitangan PDRM dan menyiasat isu-isu hak asasi manusia yang berkaitan dengan tugas-tugas PDRM.
Dalam laporannya, suruhanjaya itu diberi tanggungjawab untuk menyediakan cadangan-cadangan untuk menambahbaik dan memodenkan perkhidmatan PDRM.
Menurut Bernama, suruhanjaya itu sebelum ini diberi tempoh setahun untuk menyiapkan laporannya, yang berakhir semalam.
Menurut kenyataan setiausaha suruhanjaya Datuk Hamzah Mohamed Rus semalam, Yang di-Pertuan Agong telah berkenan melanjutkan tempoh itu sehingga 3 Mei ini.
Siasatan awam
Sementara itu, anggota suruhanjaya Kuthubul Zaman Bukhari yang juga Pengerusi Majlis Peguam berkata pihaknya memang memerlukan lebih masa untuk menulis, menterjemah dan mencetak laporan itu.
Suruhanjaya itu bermesyuarat setiap Isnin dan Khamis untuk menyiapkan laporannya dan masih menjalankan siasatan awam pada hari-hari lain.
Sebagai contoh, kata Kuthubul Zaman, Kumpulan Pemantau Polis telah menemui anggota suruhanjaya itu beberapa minggu lalu dan beliau akan menghadiri siasatan awam mengenai kes tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri, Jumaat ini.
Manakala seorang lagi anggota suruhanjaya itu, Datuk Michael Yeoh yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategik dan Kepimpinan Asia pula berkata, Amnesty International telah menyerahkan cadangan yang panjang lebar beberapa hari lalu dan beliau juga akan menghadiri siasatan awam mengenai dakwaan berlakunya penahanan tidak sah.
"Kami mahu menyediakan laporan yang teliti dan untuk melakukannya, kami memerlukan tempoh lanjutan bagi memastikan ia dapat ditulis dengan baik dan meliputi sumbangan setiap orang," kata seorang lagi anggota suruhanjaya itu, Ivy Josiah yang juga pengarah eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita.
Menurut kenyataan suruhanjaya itu semalam, ia telah mendapat kerjasama yang baik daripada orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan, badan-badan profesional dan parti-parti politik yang telah tampil memberikan maklumat, maklum balas dan cadangan, selain mengemukakan aduan.
Maklum balas
Suruhanjaya itu mengadakan 27 siasatan awam di seluruh negara yang dihadiri hampir 550 pengadu serta menerima lebih 400 surat dan 200 aduan menerusi lamanwebnya.
Suruhanjaya itu juga melawat kemudahan PDRM dan mendengar taklimat oleh PDRM, Badan Pencegah Rasuah (BPR), Jabatan Perkhidmatan Awam, Bank Negara Malaysia dan Biro Pengaduan Awam.
"Suruhanjaya ini masih dihubungi oleh pelbagai pertubuhan dan orang awam yang hendak membuat aduan dan memberikan maklum balas.
"Suruhanjaya masih lagi dalam proses menyelesaikan beberapa siasatan awam tidak berjadual yang penting dan kami percaya perlu diselesaikan secepat mungkin. Segala maklumat, maklum balas dan statistik memerlukan analisis yang terperinci, yang memakan masa."
Menurut Josiah lagi, lanjutan tempoh itu diperlukan untuk menyunting dan mencetak laporan itu yang ditulis dalam kedua-dua bahasa Malaysia dan Inggeris.
Bagaimanapun, katanya, jika laporan itu dapat disiapkan lebih cepat daripada yang dijangkakan, maka ia akan dikemukakan tanpa berlengah-lengah lagi.
Josiah berkata: "Saya fikir kami akan menyiapkannya menjelang 3 Mei."

