Suspek pecah rumah maut dibelasah
Seorang suspek pecah rumah berusia 43 tahun maut dibelasah selepas terjatuh dari bumbung rumah berkenaan di Jalan Storey semalam
Dalam kejadian pukul 5.55 pagi itu, suspek, yang mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kes dadah, berjaya ditangkap dan diikat sebelum disyaki dipukul dengan objek keras di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata mangsa, berasal dari Bukit Siput, Segamat, dipercayai cuba memecah masuk ke dalam rumah tersebut dengan memanjat bumbung namun terjatuh.
"Mangsa juga telah diikat tangan dan kaki supaya tidak dapat melepaskan diri. Mangsa dijumpai mati di tempat kejadian dalam keadaan tidak berbaju dan hanya berseluar pendek," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata mangsa mengalami kecederaan berukuran lima sentimeter di bahagian belakang kepala dan luka berukuran dua sentimeter di bahagian kening kri.
Sulaiman berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru untuk dibedah siasat dan waris mangsa sudah dihubungi untuk membuat pengecaman.
Katanya tiga lelaki berusia antara 44 dan 63 tahun, yang mempunyai talian saudara dan tinggal di rumah berkenaan, telah ditahan polis bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya.
- Bernama

