Seorang pekerja DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTECH) maut dihempap kenderaan perisai beroda ketika sesi kursus latihan pemanduan anggota tentera mengendalikan kenderaan berkenaan di trek pandu uji kilang syarikat itu di Pekan, semalam.

Difahamkan mangsa, Abdul Razak Jabbar, 45, yang berasal dari Kluang, Johor dan merupakan jurulatih memandu kenderaan berkenaan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Mangsa dikatakan pesara tentera di 12 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanise Kem Batu 10 di Kuantan dan memiliki kepakaran dalam mengendalikan kenderaan itu.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek berkata ketika kejadian pada 12.25 tengah hari itu, mangsa dikatakan sedang mengajar seorang pelatih Mohd Amirnuddin Osman, 23, memandu kenderaan berkenaan di litar pandu uji itu.

"Ketika Mohd Amirnuddin sedang memandu kereta perisai tersebut menuruni laluan bukit di litar itu, tiba-tiba ia hilang kawalan sebelum berpusing beberapa kali sehingga menyebabkan mangsa tercampak keluar daripada kereta perisai ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Amran berkata bagaimanapun Mohd Amirnuddin hanya mengalami kecedaran ringan di tangan dan mendapat rawatan di Hospital Pekan.

Beliau berkata mayat Abdul Razak dihantar ke hospital yang sama untuk dibedah siasat sebelum dituntut anggota keluarga untuk dikebumikan di kampung halaman isterinya di Pahang Tua di Kuantan.

Sementara itu, DEFTECH dalam kenyataan merakamkan ucapan takziah kepada anggota keluarga mangsa terlibat dan berasa kesal dengan kejadian berkenaan serta akan melakukan apa sahaja termampu membantu keluarga berkenaan menghadapi saat sukar itu.

Kenyataan itu menyebut satu Lembaga Siasatan akan ditubuhkan bagi menyiasat punca sebenar kejadian berlaku dan pihak pengurusan DEFTECH sedang bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kami akan memberi jaminan bahawa segala usaha akan terus diambil bagi memastikan keselamatan di kemudahan kami diletakkan pada keutamaan yang tertinggi dalam organisasi kami," menurut kenyataan itu.

Bayi maut dalam nahas

Sementara itu, di Sungai Petani, seorang suri rumah yang hamil lapan bulan patah paha kanan, manakala bayi dalam kandungannya maut selepas motosikal ditunggangi terlibat kemalangan di Jalan Bukit Kluang, di Sungai Petani semalam.

Bagaimanapun, dua anaknya membonceng, Mohamad Haziq Abdul Khadzir, 14, dan Nor Bahiyah, 11, dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP, Md Zukir Md Isa berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang Norazah Abdul Halim, 38, berlanggar dengan sebuah kereta kira-kira 7.30 pagi tadi.

Katanya, kereta yang dalam perjalanan dari arah Jalan Gurun ke Sungai Tiang itu, gagal dikawal ketika melalui jalan tidak berturap, mengakibatkan ia memasuki laluan bertentangan lalu melanggar motosikal mangsa.

"Suri rumah itu dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, manakala bayi dalam kandungan itu disahkan meninggal dunia pada pukul 12.50 tengah hari tadi," katanya.

OKU maut dalam kebakaran

Di Kuala Lumpur, seorang wanita orang kurang upaya (OKU) maut dalam satu kebakaran melibatkan dua buah rumah di Batu 6, Gombak pagi semalam.

Ketua Balai Bomba Selayang Azrul Khairi Abu Bakar berkata mangsa, Leni Marlina Syaril, 39, ditemukan di dalam bilik air salah sebuah rumah tersebut.

Beliau berkata bomba menerima panggilan pada 8.49 pagi daripada orang awam dan seramai 30 anggota dari Balai Bomba Selayang serta Balai Bomba Gombak Selatan bergegas ke lokasi kejadian sebelum tiba 11 minit kemudian.

"Setibanya di lokasi, sebuah rumah telah hangus terbakar manakala sebuah rumah lagi terbakar hampir 50 peratus dan bomba berjaya memadamkan sepenuhnya kebakaran kira-kira sejam kemudian," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Bagaimanapun katanya seorang penghuni di sebuah lagi rumah sempat menyelamatkan diri.

Sementara itu, ibu mangsa, Asnidar Sutan Sulaiman, 63, berkata ketika kejadian, beliau tiada di rumah kerana dalam perjalanan ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kerana penyakit kencing manis.

"Saya mendapat panggilan telefon daripada jiran mengatakan rumah saya terbakar lalu bergegas pulang ke rumah," katanya yang terkejut melihat keadaan rumah dan anaknya yang terbakar dijilat api.

Ibu tunggal itu berkata beliau reda dengan kehilangan anak ketiganya yang mengalami masalah sindrom down itu.

Katanya Lini Marlina merupakan seorang anak yang mendengar cakap dan sangat rapat dengannya.

Asnidar berkata hanya mereka berdua tinggal di rumah sewa itu manakala tiga lagi anaknya tinggal berasingan kerana sudah berkeluarga.

Dalam pada itu, jiran mangsa yang dikenali sebagai Yusmanto, 34, berkata dia cuba membantu menyelamatkan mangsa namun gagal kerana api sangat marak.

"Masa itu saya terdengar jeritan mangsa meminta tolong dari dalam rumah sebanyak tiga kali dan terus berlari ke arah rumah itu untuk membantu tetapi keadaan bertambah buruk dan menyukarkan saya," katanya.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata Asnidar yang juga penerima asnaf akan ditempatkan sementara di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kerdas Gombak.

Katanya pihaknya telah menghulurkan sumbangan wang tunai berjumlah RM500 dan barang keperluan asas selain kos pengurusan jenazah akan ditanggung oleh pihak masjid.

- Bernama