Tambatan ringgit tidak akan disemak dalam jangka waktu terdekat ini. Pendirian kerajaan ini dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz hari ini.

Dalam ucaptamanya di Persidangan Tinjauan Strategi Malaysia 2005 di Kuala Lumpur, Najib berkata memandangkan kelembapan ekonomi dunia dijangka berlaku dan persekitaran eksport semakin lemah, maka kerajaan percaya tambatan itu akan terus memastikan eksport negara boleh ditelah dan berdayasaing.

Menurut laporan Bernama , Najib berkata, semakan tambatan ringgit akan hanya dipertimbangkan jika unit tempatan itu tidak sejajar pergerakan asasnya atau jika berlaku perubahan besar pada struktur sistem kewangan global.

"Penilaian kita pada masa ini ialah ringgit tidak dinilai terlalu rendah berbanding beberapa mata wang serantau," kata Najib dalam ucaptamanya yang bertajuk 'Tinjauan Ekonomi dan Strategi Serantau - Cabaran dan Harapan'.

Manakala Rafidah pula berkata, kementeriannya akan mendapatkan maklum balas daripada sektor swasta mengenai sama ada mereka menghadapi kesukaran pada kadar tambatan sekarang.

Menurut Bernama , beliau menjelaskan, tambatan itu telah menjadikan eksport Malaysia lebih kompetitif dan akan kekal sebagai mekanisme harga.

"Tambatan kekal. Jangan tanya lagi," katanya dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur untuk mengumumkan angka perdagangan 2004 yang dikeluarkan oleh Perbadanan Kemajuan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Kadar tambatan

"Perdana Menteri telah berkata tambatan sebagai satu mekanisme akan kekal tetapi sama ada ia kekal pada 3.80 untuk selama mana bukan bagi saya untuk menyatakan," katanya.

Rafidah bagaimanapun menegaskan kerajaan tidak memutuskan mengenai sama ada terdapat keperluan untuk mengubahsuai tambatan itu, yang telah ditetapkan pada RM3.80 setiap dolar AS selama enam tahun.

Katanya, sebelum sebarang keputusan dibuat untuk mengubah tambatan itu, satu kajian jangka panjang trend matawang lain, terutama matawang kukuh seperti euro dan yen, perlu dijalankan.

Di samping itu, tegasnya, pergerakan matawang-matawang itu berbanding dolar dan berbanding matawang-matawang pesaing-pesaing perdagangan Malaysia, juga perlu dipantau.

"Jika kita lihat satu trend yang menunjukkan bahawa kita kehilangan dayasaing akibat terlekat pada 3.80 sepanjang satu tempoh, maka mungkin perubahan itu akan datang. (Tetapi) tambatan akan masih ada. Ini sedang dipantau, saya percaya, pada asas harian oleh bank pusat sepanjang satu tempoh yang munasabah," katanya.

Satu lagi faktor untuk dipertimbangkan ialah kesan paras tambatan sekarang ke atas prestasi perdagangan Malaysia.

"Kita perlu lihat daripada semua sudut. Bukan semata-mata harga import yang lebih tinggi," kata Rafidah.

Nilai euro

Syarikat-syarikat, kata Rafidah, hendaklah berhati-hati dalam mengimport barangan perantaraan dan bahan-bahan mentah mereka dengan mendapatkan pelbagai sumber.

"Kita berterusan membeli dari Eropah jika euro amat kukuh. Carilah sumber-sumber lain untuk bahan-bahan anda atau kelengkapan anda atau apa juga: nasihat beliau.

Tambahnya bahawa sektor swasta patut mengambil kesematan daripada keboleh ramalan yang diwujudkan oleh tambatan dalam membuat keputusan.

Sementara itu, dalam sidang akhbar kemudiannya, Najib berkata, pada masa ini, ringgit masih berdayasaing pada margin yang munasabah berbanding mata wang serantau lain, oleh itu kerajaan mengambil keputusan untuk tidak menyemak tambatan ringgit melainkan jika ia melebihi margin-margin tertentu.

Ditanya mengenai kemungkinan China menetapkan kadar pertukaran yang fleksibel, Najib berkata: "Belum ada tanda-tanda, tetapi kita akan memantau keadaan."

Najib juga berkata, unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia tetap tidak berubah walaupun berlaku bencana tsunami yang melanda kawasan-kawasan pantai di negeri-negeri di utara Semenanjung.

"Ekonomi kita terjejas sedikit sahaja oleh tragedi tsunami itu kerana Malaysia merupakan ekonomi yang amat pelbagai dan tidak terlalu bergantung kepada pelancongan," katanya.

Harga minyak

Dengan demikian, kerajaan tetap berpegang kepada ramalan pertumbuhan KDNK terdahulu iaitu sebanyak tujuh peratus pada 2004 dan enam peratus bagi 2005.

Dari perspektif yang lebih luas, kata Najib, pertumbuhan pada 2005 sebahagian besarnya akan dijana oleh sektor swasta kerana kerajaan terus komited kepada usaha pengukuhan fiskal dengan mengurangkan defisit belanjawan kepada 3.8 peratus KDNK pada 2005 daripada 4.5 peratus pada 2004.

Pada 2005, sektor perkilangan akan kekal sebagai jentera pertumbuhan utama, dengan pertumbuhan dijangka sebanyak 7.5 peratus, diikuti oleh sektor perkhidmatan, yang dijangka menyumbang sebanyak kira-kira 57 peratus KDNK.

Ini akan dicapai melalui perbelanjaan pengguna yang tinggi, peningkatan pelancongan dan pertumbuhan dalam sektor komunikasi dan kewangan.

Menyentuh tentang perkembangan harga minyak, Najib berkata, walaupun Malaysia agak terlindung daripada kesan negatif harga minyak yang semakin meningkat memandangkan kedudukan eksport bersihnya, namun kerajaan akan menguruskan penurunan tahap subsidi minyak domestik dengan berhati-hati bagi mengurangkan tekanan inflasi.

"Langkah ini adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengurangkan defisit belanjawan dan mencapai keseimbangan fiskal dalam jangka sederhana," jelas Najib.