31 kes kebocoran rahsia k'jaan dalam tempoh lima tahun
Terdapat 31 kes insiden kebocoran maklumat dan rahsia rasmi kerajaan dari tahun 2010 hingga 2015, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Walau bagaimanapun, hanya empat daripada 15 orang disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi didakwa di mahkamah antara tahun 2011 dan 2015, kata Azalina.
Keempat-empat mereka didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 yang membawa hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun.
Azalina berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada dua soalan Parlimen semalam.
Anuar Manap (BN-Sekijang) meminta perdana menteri menyatakan jumlah individu serta bentuk tindakan yang diambil oleh Jabatan Peguam Negara terhadap mereka membocorkan rahsia negara dalam empoh lima tahun yang lalu.
Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (BN-Kuala Kangsar) pula meminta perdana menteri menyatakan jumlah pembocoran maklumat sulit kerajaan sepanjang tahun 2010 hingga 2015 dan perancangan kerajaan menangani isu berkenaan.
“Kerajaan telah menyediakan kerangka dasar bagi menagani isu ketirisan maklumat kerajaan dan kaedah mengatasinya bagi jangkamasa pendek dan jangkamasa panjang.
“Untuk tujuan itu, kerajaan telah mengenalpasti tiga elemen penting iaitu elemen manusia, teknologi dan proses yang perlu ditingkatkan bagi menagani dan membendung isu kebocoran maklumat terperingkat,” kata Azalina.
Akta Rahsia Rasmi baru-baru ini menjadi topik hangat selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata beliau mempunyai perancangan untuk mengukuhkan akta berkenaan.
Menurut Apandi, mengikut cadangan itu, mereka yang membocorkan rahsia kerajaan, dan wartawan yang melindungi sumber maklumat mereka boleh dihukum penjara seumur hidup dan 10 sebatan.
[Baca berita penuh]

