Persatuan akhbar di Malaysia membidas penahanan dua wartawan Australia yang cuba untuk mengemukakan beberapa soalan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kelab Wartawan Asing Malaysia (FCCM) berkata pengawal keselamatan perdana menteri boleh bertindak menyekat kru program 'Four Corners ' Perbadanan Penyiaran Australia ( ABC ) Linton Besser dan Louie Eroglu, dan bukannya menangkap mereka.

"Wartawan tidak mempunyai rekod mencederakan secara fizikal ke atas pegawai awam, bahkan, lazimnya yang sebaliknya berlaku.

"Namun polis menggunakan 'langkah-langkah pencegahan' ke atas pemberita, seolah-olah mereka adalah pengganas," kata FCCM dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, wartawan sentiasa bekerjasama apabila polis perlu untuk menyoal mereka, justeru, tidak ada sebab untuk menangkap mereka.

Katanya, jika mereka yang memegang jawatan takut reputasi terjejas, mereka boleh menggunakan cara sivil seperti hak untuk menjawab atau mengambil tindakan undang-undang.

Sementara itu, Gerakan Media Marah (Geramm) berkata tangkapan itu adalah ‘serangan’ ke atas kebebasan akhbar.

"Kami percaya kejadian itu boleh dielakkan jika pegawai awam, dalam kes ini, perdana menteri sendiri lebih terbuka untuk menjawap soalan yang membabitkan kepentingan awam," kata Geramm dalam satu kenyataan semalam.

Ia menegaskan sejak memegang jawatan, Najib jarang sekali mengadakan sidang akhbar, dan apabila berbuat demikian ia pula tidak dibuka kepada semua media.

Besser dan Eroglu ditahan pada Sabtu lalu selepas cuba untuk mengemukakan soalan kepada Najib berhubung derma RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun bank peribadi perdana menteri.

[Baca berita penuh]