Dewan tolak soalan mengenai pendedahan AG Switzerland
Dewan Rakyat hari ini menolak rayuan oleh Lim Guan Eng (DAP-Bagan) berhubung soalannya mengenai pendedahan Peguam Negara Switzerland berhubung penyalahgunaan dana AS$4 bilion oleh 1MDB.
Soalan Lim pertama kali ditolak oleh Dewan minggu lalu atas premis bahawa beliau mengemukakan soalan berdasarkan andaian.
Rayuannya ditolak hari ini oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di kamarnya atas premis yang sama.
Setiausaha Agung DAP yang kecewa itu kemudiannya memberi amaran kepada kementerian yang berkaitan supaya “tidak main-main" dengan isu itu.
Hujah Lim, memandangkan Peguam Negara Switzerland, Michael Lauber berkata pejabatnya telah menghubungi Malaysia secara rasmi meminta bantuan dalam penyiasatan mengenai kemungkinan pelanggaran undang-undang negara itu berhubung urusniaga dengan 1MDB, Dewan Rakyat tidak sepatutnya menolak soalannya.
"Ini bukan satu andaian kerana ia adalah kenyataan rasmi yang dibuat oleh Peguam Negara Switzerland," katanya.
"Peguam Negara Switzerland bukan orang sebarangan.
"Kenyataan itu tidak boleh dilihat sebagai satu andaian, melainkan jika awak mahu memutuskan hubungan diplomatik dengan Switzerland.
"Kami mahu akauntabiliti dalam siasatan 1MDB, kami mahu jawapan bagaimana AS$4 bilion (RM16.4 bilion) itu berkaitan dengan 1MDB," katanya.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Ronald Kiandee yang mempengerusikan sidang itu, berkata keputusan speaker adalah muktamad.
Ronald menjelaskan speaker berhak untuk tidak menerima sebarang pertanyaan berbentuk andaian, sangkaan atau pandangan yang dikemukakan ahli parlimen semasa sesi persidangan.
"Menurut peraturan mesyuarat, pertanyaan-pertanyaan yang menyentuh andaian, sangkaan dan pandangan terhadap kementerian, ia boleh tidak diterima oleh speaker, itulah yang berlaku tetapi Bagan (Lim Guan Eng) yang meminta agar keputusan menolak soalannya yang dibuat speaker dikaji semula," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen.
Menurutnya, Lim boleh merujuk pertanyaannya itu melalui satu usul berasingan atau dibangkitkan ketika beliau membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong.
"Saya sebagai speaker yang mempengerusikan (mesyuarat) tidak boleh buat demikian kerana keputusan speaker adalah muktamad. Cuma ia boleh dirujuk melalui satu usul yang berasingan... saya juga putuskan bahawa tidak ada masalah bagi mana-mana ahli parlimen untuk membangkitkan perkara-perkara itu ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong jika tidak ada elemen subjudis, ia boleh dijawab menteri," katanya.

