Kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang didakwa bersedia menjalinkan kerjasama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi menyelamatkan Malaysia adalah tidak benar.

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Wan Azizah itu tidak pernah menyebut mana-mana nama dalam kenyataannya sebelum ini.

Sebaliknya, kata Azmin, PKR bersedia bekerjasama dengan sesiapa saja yang komited kepada agenda reformasi.

"Tidak, dia (Wan Azizah) tidak mengatakan sedemikian. Saya dah jelaskan perkara ini pagi tadi dan apa yang dikatakan semalam adalah kita bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa saja yang komited kepada agenda reformasi.

"Presiden tidak menyebut sebarang nama pun," tegas menteri besar Selangor itu ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen sebentar tadi.

Wan Azizah yang juga ketua pembangkang sebelum ini dilaporkan berkata PKR bersedia bekerjasama dengan Najib untuk menyelamatkan Malaysia.

Malah, anggota Parlimen Permatang Pauh itu berkata parti itu menggesa semua pihak untuk mengetepikan konflik demi menyelamatkan negara ini.

Menurut laporan itu lagi, Wan Azizah dilaporkan berkata kerjasama dengan Najib perlu dibentuk dengan terma dan syarat-syarat yang membolehkan negara ini demi mencapai kemajuan.

Terdahulu, veteran DAP, Lim Kit Siang menjelaskan menerusi blognya bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pimpinan di Malaysia, termasuk Najib.

Walaupun begitu, Ahli Parlimen Gelang Patah itu menggariskan beberapa syarat sebelum bekerjasama, termasuk membebaskan Anwar dari penjara dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai 1MDB.

Syarat-syarat lain termasuk menarik balik pindaan kepada Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Hasutan 1948 dan Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara.

Beliau juga menggesa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) digantung pelaksanaannya, mengurangkan separuh saiz Kabinet dan kerajaan untuk memberi tumpuan kepada kesihatan, perumahan dan pendidikan.