Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
GERAMM gesa pampasan setimpal bagi kakitangan TMI
Diterbitkan:  Mar 14, 2016 4:22 PM
Dikemaskini: 10:47 AM

Gerakan Media Marah (GERAMM) menggesa Edge Insider Sdn Bhd dan The Edge Media Group memastikan semua kakitangan portal berita The Malaysian Insider (TMI) mendapat pampasan yang sewajarnya mengikut undang-undang buruh.

Dalam kenyataan medianya, GERAMM mengalu-alukan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) The Edge Media Group, Ho Kay Tat bahawa semua kakitangan TMI akan menerima pampasan sepatutnya.

Bagaimanapun, GERAMM juga menyatakan kebimbangan memandangkan dua laman berita di bawah The Edge ditutup sebelum ini. Ini termasuk Laman FZ.com yang ditutup pada tahun 2014 menyebabkan sebahagian kakitangannya diserap ke dalam The Edge dan TMI.

"Turut menambah kebimbangan adalah ini hanya salah satu daripada senarai panjang laman berita yang ditutup; ABN News, mytourismtv, mobtv, theantdaily dan baru-baru ini The Rakyat Post , yang ditutup atas faktor kewangan, dan dalam kes TMI dan The Edge sebelumnya, kerana tekanan kerajaan.

Sementara itu GERAMM menyatakan penghargaan terhadap TMI kerana memberikan sumbangan kepada dunia kewartawanan, malah ada antara wartawan dan editornya kini bersama agensi berita antarabangsa.

"GERAMM ingin menyuarakan rasa simpati kepada semua kakitangan TMI yang hanya menerima berita mengejutkan ini awal hari ini.

"Pada masa sama, kami juga ingin menyatakan rasa terima kasih kepada semua kakitangan TMI - dulu dan kini - yang telah bersama-sama menegakkan kebebasan media dalam persekitaran Malaysia yang sentiasa bermasalah," kata kumpulan itu yang memperkenalkan diri mereka sebagai perikatan longgar wartawan, wakil dan aktivis media yang memperjuangkan kebebasan media dan pengamalnya.

Terdahulu, editor TMI Jahabar Sadiq mengumumkan portal itu akan ditutup berkuat kuasa tengah malam ini selepas The Edge Media Group membuat keputusan berkenaan atas sebab-sebab komersial.

"Mungkin sesuai kita tidak lagi bersiaran pada permulaan Ides Mac (15 Mac)," kata Jahabar dalam satu artikel yang disiarkan di laman web portal berkenaan.

Lihat Komen
ADS