K'jaan cadang tingkatkan denda kesalahan trafik
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendedahkan terdapat 14.6 juta saman trafik tertunggak yang bernilai RM1.46 bilion masih belum dibayar dari 2010 hingga 2015.
Katanya, daripada 28.43 juta saman yang dikeluarkan dalam tempoh enam tahun lalu, hanya 13.83 juta saman berjumlah RM1.58 bilion dibayar oleh pengguna jalan raya.
Menurut Zaid, perangkaan itu adalah berdasarkan Sistem Pembayaran Kompaun Online yang dicatatkan oleh pihak polis.
Beliau yang juga adalah menteri dalam negeri juga memaklumkan kerajaan bercadang menaikkan jumlah maksimum kompaun trafik kerana kadar semasa tidak dapat mendatangkan rasa takut di kalangan pengguna jalan raya.
Zaid berkata kerajaan tidak pernah mengkaji kompaun maksimum saman trafik sejak Akta Pengangkutan Jalan 1987 dikuat-kuasakan 29 tahun lalu.
"Bagaimanapun, perkara itu masih dalam kajian. (Kami) sedang mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan sebelum melaksanakannya," kata beliau.
Cadangan itu ditimbulkan oleh ketua polis negara sebagai usaha menjadikan pengguna jalan raya lebih berhati-hati. Ia juga adalah untuk mendidik masyarakat bahawa kesalahan lalulintas boleh membawa kepada kemalangan, katanya.
Kesalahan-kesalahan itu termasuk memandu laju, menyeberangi di garisan berkembar, memotong giliran lalu lintas yang sedang beratur dan melanggar lampu isyarat.

