Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata kerajaan negeri tidak bercadang untuk mengurangkan elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP dari Sekincan, Ng Suee Lin berhubung isu lawatan Jawatankuasa Audit Awam (PAC) Selangor ke Mesir.

Akhbar Sin Chew Daily memetik beliau sebagai berkata, jawatankuasa terbabit harus membincangkan perkara ini kerana jawatankuasa itu ialah pertubuhan bebas.

Oleh itu, katanya, beliau tidak berhak campurtangan dalam hal ini, tetapi jika ia membabitkan akaun awam, maka beliau perlu memberi kenyataan mengenainya.

Baru-baru cadangan lawatan PAC ke Mesir dikritik keras oleh pelbagai pihak, terutama DAP kerana hanya terdapat dua jam sahaja aturcara rasmi, iaitu melawat Parlimen Mesir. Acara lawatan itu juga termasuk menyaksikan tarian gelek.

Berikutan itu, Dr Mohd Khir telah mengarahkan jawatankuasa tersebut supaya membatalkan lawatan sambil belajar ke Mesir kerana mendapati banyak masalah yang berlaku.

"Saya menulis surat pembatalan tersebut semasa saya berada di Mekah," katanya.

Sebenarnya, kata beliau, kerajaan negeri telah membuat penyataan tegas bahawa rombongan lawatan sambil belajar di luar negeri mesti mendapat kebenaran kerajaan negeri terlebih dahulu.

Mereka, tegasnya lagi, perlu menghantar jadual perjalanan sebelum dan selepas lawatan kepada kerajaan negeri untuk diperiksa.

Jika kerajaan tidak puas hati terhadap isi kandungan laporan, maka rombongan perlu menanggung semua perbelanjaan lawatan, katanya.

Bagaimanapun, katanya, dalam kes tersebut, kerajaan negeri tidak menerima maklumat terperinci dan apabila berlaku masalah, kerajaan negeri memberi arahan rombongan lawatan sambil belajar itu dibatalkan.

Ditanya mengapa kerajaan negeri tidak mengetahui kandungan jadual perjalanan itu, Dr Mohd Khir berkata, secara amnya, rombongan lawatan perlu mendapatkan kebenaran pihak Mesir.

Oleh itu, persetujuan kerajaan negeri hanya merupakan kelulusan peringkat awal atau kelulusan mengikut dasar.

Mata pelajar keluarkan sinaran merah

Mata seorang pelajar perempuan yang secara tiba-tiba mengeluarkan sinaran merah di sebuah sekolah menengah berasrama di kawasan luar bandar Sibu, menakutkan pelajar lain

Menurut laporan Nanyang Siang Pau, kejadian ini berlaku pada pukul 9 malam, Selasa lalu. Ketika itu, 10 pelajar perempuan sedang mentelaah pelajaran di bawah pengawasan seorang pengawas perempuan.

Pengawas itu terkejut bila ternampak mata salah seorang pelajar perempuan mengeluarkan sinaran merah, beliau cuba melarikan diri tetapi pelajar mengejarnya menyebabkan pengawas dan pelajar lain ketakutan.

Mereka berlari bertempiaran menyebabkan ada pelajar yang histeria dan pengsan.

Berikutannya, enam daripada sebelas pelajar perempuan dihantar ke bilik kecemasan Hospital Besar Sibu untuk diperiksa.

Kira-kira jam 9.00 pagi semalam, dua pelajar perempuan lagi dihantar ke hospital kerana gastrik.