'Referendum ke atas PM boleh sebabkan negeri keluar Malaysia'
Pungutan suara terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak boleh membuka kepada referendum lain, termasuk oleh negeri-negeri yang mahu keluar Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Salleh berkata Malaysia tidak mengamalkan sistem pungutan suara, dan sebarang gesaan terhadap kedudukan Najib sebagai perdana menteri mesti melalui proses undang-undang di parlimen.
"Patutkah Parlimen sekarang diminta untuk meluluskan satu undang-undang baru mengambil sistem referendum dan buatkan ia terikat dengan perlembagaan?
"Bagaimana jika Sabah dan Sarawak, atau mungkin Pulau Pinang memutuskan untuk mengambil kesempatan terhadap undang-undang baru ini dan mengadakan referendum untuk meninggalkan Malaysia?
"Dan bagaimana jika undi majoriti meninggalkan Malaysia? Adakah ia sah?," katanya melalui satu kenyataan.
Salleh memberikan respons terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini yang berkata satu-satunya perkara yang boleh meyakinkan orang awam agar Najib kekal sebagai PM ialah melalui pungutan suara.
"Jika saya mendapat undi lebih, ia bermakna rakyat menerima apa yang saya telah tekankan tentang kesalahan kewangan Najib adalah benar, maka dia patut meletakkan jawatan," kata Mahathir.
Menyelar bekas perdana menteri itu, Salleh berkata pembentukan kerajaan dan pelantikan seorang perdana menteri bukan "pertandingan populariti".
Pihak berkuasa sebelum ini memberi amaran kepada pihak tertentu di Sabah dan Sarawak yang mendesak agar kedua-dua negeri itu keluar daripada pembentukan Malaysia.

