Firefly minta maaf kerana iklan 'seksis'
Firefly Airlines hari ini meminta maaf kerana menyiarkan iklan yang dianggap "seksis" dengan memaparkan gambar punggung pramugari bagi mempromosikan tambang diskaun syarikat itu.
"Kami di Firefly tidak ada niat menjadi seksis dalam bagaimana kami menjalankan perniagaan kami dan kami mempunyai penghormatan tidak berbelah bagi untuk semua orang.
"Kami menyesal bahawa visual iklan kami baru-baru ini telah menyebabkan ketidakselesaan bagi sesetengah pihak dan untuk itu, kami meminta maaf," kata syarikat itu di laman Facebook .
Iklan itu menonjolkan gambar wanita memakai skirt paras lutut dengan warna korporat syarikat penerbangan itu, yang dirakam dari bahagian belakang.
Hanya bahagian bawah tubuh mereka ditunjukkan dan diskaun dipaparkan pada punggung wanita itu.
Satu versi iklan itu disiarkan dalam talian dengan mesej " Come grab it real fast" (Marilah rebut dengan cepat).
Versi lain menggunakan ungkapan: " Oooppss ...we did it again " (Oooppss.... kita lakukannya lagi."
Penolong Setiausaha Publisiti Wanita DAP Syerleena Abdul Rashid menyifatkan iklan yang menjadikan wanita sebagai objek merupakan "minda yang sukar dibayangkan".
"Bagi syarikat yang dihormati seperti Firefly, menggunakan bahagian belakang wanita sebagai satu cara untuk menarik perhatian adalah satu kesilapan besar di pihak mereka,"katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, siri iklan yang menyakitkan hati itu mencalarkan hak wanita dan hanya mengukuhkan idea bahawa wanita hanyalah mengenai tubuh badan mereka.

