Projek mewah I-Berhad, 8Kia Peng@KLCC yang mempunyai nilai pembangunan kasar sebanyak RM1 bilion, dijangka membantu kerajaan mencapai aspirasi untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya antarabangsa.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Eu Hong Chew, berkata projek mewah sulung kumpulan itu diilhamkan oleh dua Bidang Ekonomi Utama Negara di bawah Program Transformasi Ekonomi.

"8Kia Peng@KLCC merupakan sebahagian daripada projek pembangunan pusat bandar yang akan menjadikan Kuala Lumpur sebagai salah satu daripada bandar-bandar global di dunia.

"Oleh itu, unit-unit yang ditawarkan melalui projek ini telah memenuhi standard antarabangsa," katanya pada taklimat media selepas pelancaran projek itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan projek itu hari ini.

Terdahulu, Najib berkata, projek itu akan menjadi mercu tanda yang elegan kepada kawasan sekitar KLCC.

"Pembangunan yang dibuat oleh I-Berhad, pemaju I-City di Shah Alam dan projek di Changkat Kia Peng itu merupakan contoh terbaik bagaimana sektor swasta boleh menyumbang kepada matlamat kami dalam menjadikan Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang benar-benar cemerlang serta mampu meningkatkan ketibaan pelancong

dan merangsang pasaran hartanah Malaysia dengan mencipta kesedaran yang lebih besar kepada Program Malaysia Rumah Kedua Ku," katanya.

Projek pegangan bebas, 8KiaPeng@KLCC dengan 50 tingkat itu mempunyai 442 unit kediaman.

- Bernama