Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yakin pelancong asing akan terus tertarik dengan keindahan alam semula jadi Sarawak dan penduduknya yang peramah.

Beliau berkata insiden dua wartawan Australia ditahan kerana merempuh kawalan keselamatan semasa cuba menemubual Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kampung Haji Baki dua hari lepas tidak akan menyebabkan mereka berasa takut.

Publisiti negatif yang tercetus secara dalam talian susulan insiden tersebut juga tidak akan menghalang mereka untuk mengunjungi negeri ini, kata beliau.

Abang Johari ditemui media selepas menerima 25 tan barang keperluan harian dan bantuan persekolahan daripada Pengarah Hal Ehwal Komuniti ASTRO Datuk David Yap di dewan Masyarakat Merpati Jepang di Kuala Lumpur hari ini.

ASTRO melalui ASTRO Kasih dan kerjasama stesen radio ERA dan MY FM menjalankan kempen selama seminggu untuk merayu orang ramai membantu penduduk yang terjejas banjir di Bahagian Kuching baru-baru ini.

Mengenai kedua-dua wartawan tersebut, Linton Besser, 39 dan jurukamera Louis Eroglu, 51, dari Australian Broadcasting Corporation, Abang Johari berkata mereka sepatutnya menunggu sehingga diadakan sidang media untuk menebubual perdana menteri.

Sementara itu, beliau berharap lebih banyak badan korporat akan mencontohi ASTRO dalam menunaikan tanggungjawab sosial korporatnya.

-Bernama