Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Talib Jamal sedang disiasat berhubung dakwaan kes pecah amanah yang membabitkan koperasi polis.

Mengikut sumber, beliau adalah antara lima pegawai polis yang disoalsiat berhubung aduan yang dibuat oleh seorang pengarah koperasi itu di Kuala Lumpur tahun lalu.

Pengarah berusia 55 tahun itu, mendakwa RM250,000 telah 'dikeluarkan' atas alasan untuk membayar komisen bagi jualan saham beberapa syarikat tersenarai di Papan Utama, bernilai RM15 juta.

Lima pegawai berkenaan masih lagi memegang jawatan dalam koperasi tersebut, yang ditubuhkan pada tahun 1928 dan kini telah berkembang menjadi sebuah konglomerat dengan memiliki aset bernilai RM720 juta.

Ketika dihubungi hari ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Musa Hassan enggan mengulas lanjut, tetapi sekadar berkata kes tersebut sedang dalam siasatan.

Bagaimanapun, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mustafa Abdullah memberitahu malaysiakini kemudiannya bahawa kertas siasatan telahpun diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara yang akan membuat keputusan mengenainya.

Beliau juga berkata ketua polis negeri terbabit tidak digantung perkhidmatannya kerana ianya masih merupakan satu dakwaan. Mustafa bagaimanapun enggan menyatakan nama ketua polis terbabit.

Talib, 54, yang pernah bertugas sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Polis, dilantik menjadi Pesuruhjaya Polis Sarawak pada 3 Mac tahun lalu.

Beliau yang berkelulusan ijazah dalam bidang kejuruteraan dan ijazah sarjana dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal, menyertai pasukan polis sebagai inspektor percubaan pada tahun 1970.

Anggota keluarga terbabit

Kes disebut mendapat perhatian berikutan laporan dalam akhbar The Star bulan lalu, yang memetik Musa sebagai berkata, siasatan sudah siap dan kes penipuan itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mengikut laporan akhbar tersebut, pengarah berkenaan telah membuat aduan polis dengan mendakwa pembayaran itu dibuat dengan menggunakan wang koperasi tanpa pengesahan perjanjian, tidak mengikut prosidur atau tanpa pendokumenan sewajarnya.

Laporan itu memetik seorang pegawai koperasi itu, yang tidak disebut namanya, sebagai berkata beberapa individu yang terbabit dalam penipuan itu mungkin anggota keluarga seorang pegawai kanan pertubuhan tersebut, yang berpendapatan lima angka dan diberi kereta syarikat.

"Ahli lembaga pengarah yang baru, yang mengambil alih pengurusan beberapa bulan lalu, mendapati ada yang tidak kena apabila mereka meneliti laporan-laporan audit yang menunjukkan bayaran komisen bagi jualan saham, telahpun dibayar kepada sebuah syarikat sekuriti yang dilantik," kata pegawai tersebut.

Menurut akhbar itu lagi, dalam siasatan kes tersebut, pegawai dari Bukit Aman dan unit jenayah perdagangan telah menyoalsiasat pihak bank, remiser dan pegawai koperasi berkenaan.

Sementara itu, akhbar Malay Mail melaporkan hari ini bahawa Pejabat Peguam Negara telah mengarahkan pihak polis supaya menemui beberapa pegawai lagi berhubung kes tersebut.

Tabloid itu juga melaporkan bahawa pegawai tinggi polis 'risau' yang ketua polis negeri berkenaan, yang tidak disebut namanya, telah membina sebuah rumah di Shah Alam yang bernilai lebih RM2 juta.