Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, dua wartawan Australia yang ditahan polis di Sarawak boleh datang semula ke negeri itu sebagai pelancong.

Bagaimanapun, Nur Jazlan berkata, sekiranya dua individu tersebut ingin memasukki Sarawak sebagai wartawan, mereka perlu memohon permit pekerja daripada kerajaan negeri.

"Isu imigresen berkaitan Sarawak adalah di bawah (kuasa) Ketua Menteri dan kerajaan negeri. Sebab itu kerajaan persekutuan tidak campur tangan dengan perkara berkaitan Sabah dan Sarawak.

"Mereka (wartawan terbabit) sepatutnya memohon permit kerja jika mereka ingin (bertugas) sebagai wartawan di Sabah dan Sarawak.

"Jika mereka datang balik sebagai pelancong, tidak ada masalah. Jika mereka datang balik dan melanggar undang-undang, maka akan ada masalah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Parlimen hari ini.

Arahan Peguam Negara

Polis Sarawak pada 12 Mac lalu menahan dua wartawan stesen penyiaran ABC Australia kerana "menghalang tugas penjawat awam".

Linton Besser dan jurukamera Louie Eroglu dikatakan cuba melepasi garisan keselamatan untuk bertanya soalan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Kota Sentosa, Sarawak.

Kedua-dua wartawan itu dikatakan bertindak secara "agresif" ketika mahukan penjelasan mengenai isu kemasukan dana ke akaun persendirian Najib.

Kata Nur Jazlan, jika Besser dan Eroglu boleh datang ke Semenanjung serta Sabah dan Sarawak sebagai pelancong, beliau berkata ia terpulang kepada Jabatan Imigresen Malaysia.

Nur Jazlan juga berkata mereka juga akan dilayan seperti pelancong lain.

"Kita akan beri mereka layan seperti yang lain," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai pendakwaan yang tidak dilakukan terhadap Besser Eroglu, Anggota Parlimen Pulai itu memberitahu ia dibuat atas arahan Peguam Negara.

Kedua-dua petugas ABC berkenaan juga dihantar pulang hanya kerana melanggar Seksyen 18 (3) (h) Akta Imigresen 1959/63.

"Sepatutnya didakwa di bawah Seksyen 186 (Kanun Keseksaan) tapi Peguam Negara kata tak perlu," katanya lagi.

Besser dan Eroglu akan dihantar pulang hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS