Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mencadangkan supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berunding dengan kerajaan Arab Saudi supaya meningkatkan kuota haji sehingga 50,000 orang setahun.

Beliau berkata, cadangan itu timbul berikutan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang berkata seseorang akan hilang giliran menunaikan haji dan terpaksa menunggu sehingga 70 tahun kerana mengeluarkan deposit daftar haji.

Menurut Rafizi, beliau juga mendapat jawapan bertulis di Parlimen berhubung giliran jemaah haji untuk menunaikan rukun Islam itu.

Bagaimanapun, katanya, jawapan tersebut tidak tepat dan memberi gambaran seolah-olah kedudukan kewangan menjadi punca bakal gaji terpaksa menunggu masa yang lama.

Jelasnya, kuota rasmi jemaah haji bagi negara ini adalah 30,000 orang setahun dan sejak beberapa tahun lalu, kuota telah menurun sekitar 22,000 orang setahun sahaja.

"Saya ingin mengusul supaya Datuk Seri Najib berunding dengan kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan kuota haji sehingga 50,000 setahun untuk memendekkan tempoh menunggu giliran memandangkan beliau sangat rapat dengan kerajaan Arab Saudi.

"Jika keluarga diraja Arab Saudi boleh mendermakan RM2.6 bilion kepada beliau, saya yakin beliau rapat dengan keluarga diraja Arab Saudi dan boleh mendapatkan pertambahan kuota haji bagi rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Jamil memberitahu, pendeposit Tabung Haji yang mengeluarkan deposit daftar haji bersama wang simpanan mereka, akan hilang giliran menunaikan haji sehingga 70 tahun.

Jamil berkata pendeposit yang mengeluarkan simpanan mereka akibat percaya dengan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap Tabung Haji baru-baru ini, akan secara automatik keluar daripada giliran menunaikan haji.

Pendeposit perlu meletakkan deposit RM1,300 daripada wang simpanan untuk pendaftaran haji dan diberikan tarikh peruntukan haji mengikut giliran.

Mereka juga terjejas dengan ruang untuk mendapat dividen dan bonus jika mengeluarkan semua wang simpanan mereka, kata Jamil.