ABC yang berpangkalan di Australia mempertahankan dua kru penerbitan beritanya yang ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia, semalam selepas cuba untuk mendapatkan komen daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung ‘derma’ RM2.6 bilion yang berada dalam akaun peribadinya.

Menerusi kenyataan di laman webnya, ABC berkata, kedua-dua mereka akan meneruskan usaha menerbitkan berita mengenai skandal rasuah yang dijangka siap dalam beberapa minggu lagi.

"Mereka tidak melakukan sebarang kesalahan di Kuching. Mereka hanya menjalankan tugas-tugas kewartawanan. Kejadian ini membuktikan mengapa adalah penting untuk mempertahankan kebebasan media, termasuk hak untuk menyoal pihak kuasa.

"Linton dan Louie akan meneruskan kerja mereka, menyiasat apa yang berlaku untuk Four Corners. Kami harap untuk melihat laporan penuh mereka dalam minggu akan datang,” kata pengarah berita ABC Gaben Morris.

Wartawan Linton Besser dan jurukamera Louie Eroglu dari program Four Corners terbitan ABC, semalam ditahan pihak berkuasa Malaysia selepas cuba mengajukan beberapa soalan kepada Najib.

Mereka dikepung oleh pengawal keselamatan Najib tetapi kemudian dibebaskan dan ditangkap semula.

Pihak berkuasa menuduh mereka menyeberangi garis keselamatan dan cuba menyoal Najib secara "agresif" serta gagal mematuhi arahan polis.

Kedua-dua lelaki itu menafikan dakwaan berkenaan.

Mereka pada mulanya dijadualkan didakwa di mahkamah hari ini atas tuduhan menghalang tugas penjawat awam yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun jika didapati bersalah tetapi sebaliknya dihantar pulang.

Mengulas lanjut Morris menyatakan rasa lega bahawa kedua-dua kru ABC itu dalam perjalanan kembali ke Australia melalui Singapura.