PAS Terengganu hari ini membuat laporan polis kerana mendakwa berlakunya penyelewengan fakta dan penghinaan agama dalam teks khutbah yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu yang dibaca semasa sembahayang Jumaat lalu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Datuk Abu Bakar Chik berkata teks khutbah itu yang bertajuk "Cukai Pintu Ke Arah Masyarakat Maju dan Harmonis" boleh mengelirukan dan mengandungi unsur-unsur penyelewengan fakta dan penghinaan terhadap agama Islam.

"Kita amat kesal dan mengharapkan supaya perkara-perkara seumpama ini tidak akan berlaku pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Menurut Bernama , turut serta dalam rombongan itu ialah Bendahari PAS Negeri Abdul Wahid Endut, Ketua Penerangan PAS Negeri Yahaya Ali dan beberapa pemimpin muslimat PAS negeri.

Abu Bakar berkata khutbah itu sangat menyeleweng dari segi fakta sejarah dan memfitnah pemerintahan Saidina Abu Bakar As-Siddiq dengan membandingkan zakat dengan cukai pintu yang hendak dikenakan semula oleh kerajaan negeri setelah ianya dihapuskan oleh kerajaan negeri sebelum ini pimpinan PAS.

Menurutnya, perbuatan menyamakan cukai pintu dengan zakat adalah satu perkara yang bertentangan, jauh sekali jika hendak dibandingkan kedua-duanya kerana apabila difahami dari keseluruhan konsep khutbah itu boleh menimbulkan unsur-unsur hasutan.

Dakwaan penyelewengan

Sementara itu, di Pulau Pinang, DAP negeri membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) meminta badan itu menyiasat kemungkinan berlaku penyelewengan pengurusan dalaman Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pada tahun 2001.

Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP negeri, Teoh Seang Hooi mendakwa, MPSP membelanjakan RM4 juta untuk melantik sebuah agensi penilaian hartanah pada tahun 2001 bagi menjalankan penilaian bangunan dan hartanah di Seberang Perai.

Beliau mendakwa, siasatan DAP mendapati pelantikan agensi itu tidak sepatutnya dibuat kerana MPSP mempunyai bahagian penilaiannya sendiri yang memang boleh menjalankan kerja-kerja itu.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan laporan setebal dua mukasurat itu di pejabat BPR negeri di Jalan Sultan Ahmad Shah, Teoh berkata penggunaan wang itu juga tidak diaudit atau diterangkan butir-butir perbelanjaannya.

Menurut Bernama, turut hadir ialah Ahli Parlimen Bukit Mertajam Chong Eng, Ahli Parlimen Tanjung yang juga pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow serta beberapa lagi anggota DAP.

Teoh berkata, Yang Dipertua (YDP) MPSP Md Aris Ariffin dalam kenyataan kepada sebuah akhbar berbahasa Cina bertarikh 20 Disember lalu, tidak menafikan kemungkinan berlakunya rasuah dalam penggunaan wang RM4 juta itu.

Akhbar itu memetik Md Aris sebagai berkata perjanjian yang dibuat itu tidak diketahuinya kerana dilakukan ketika MPSP berada di bawah kepimpinan terdahulu.