Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahathir, pembangkang bakal berhimpun sama 28 Mac ini
Diterbitkan:  Mar 15, 2016 4:00 PM
Dikemaskini: 9:09 AM

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pembangkang mungkin tidak sehaluan mengenai perhimpunan awam tetapi kedua-dua mereka buat kali pertama akan berkongsi pentas sama pada akhir bulan ini.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dalam satu kenyataan akhbar berkata Mahathir telah mengesahkan kehadirannya pada perhimpunan “Muafakat Selamatkan Malaysia” di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah.

“Untuk menyesuaikan jadual Muafakat Selamatkan Malaysia dengan semua pimpinan Pakatan Harapan, Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tokoh-tokoh lain, tarikh yang dimuktamadkan adalah pada hari Isnin, 28 Mac 2016 bermula jam 8 malam,” katanya dalam satu kenyataan media.

Rafizi adalah penyelaras sekretariat “Muafakat Selamatkan Malaysia” bagi pihak pembangkang, bersama-sama dengan bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang mewakili Mahathir.

Rafizi berkata, himpunan itu adalah berbentuk rapat umum yang menyediakan pentas kepada pemidato, deklamasi sajak, persembahan dan pelbagai program lain.

“Ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan saya menyeru seberapa ramai rakyat yang prihatin dengan masa depan negara untuk turun menyemarakkan gelombang reformasi,” katanya.

Rafizi berkata, perhimpunan itu adalah untuk membolehkan penyertaan orang ramai sehari selepas majlis tertutup pada 27 Mac yang diselaraskan oleh bekas Menteri di jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Katanya, himpunan itu memberi ruang kepada seberapa ramai rakyat menyertainya memandangkan jemputan ke majlis pada 27 Mac adalah terhad.

Mesyuarat dan himpunan berkenaan diadakan serentak dengan pemeteraian Deklarasi Rakyat yang dimulakan oleh Mahathir.

Deklarasi itu membawa bersama kumpulan yang sebelum ini tidak boleh ‘bertentangan mata’ duduk di meja yang sama.

Mahathir dan sekutunya bergabung tenaga dengan pembangkang dan masyarakat sivil semata-mata bertujuan untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga melakukan pembaharuan institusi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS