Syed Hamid: Deraman Koteh rakyat Malaysia
Kerajaan Thailand perlu mengemukakan bukti bahawa tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Abdul Rahman Ahmad atau Deraman Koteh adalah rakyat Thai bagi menyokong permohonannya untuk mengekstradisi beliau ke negara itu, kata Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Kerajaan Thailand perlu mengemukakan bukti bahawa tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Abdul Rahman Ahmad atau Deraman Koteh adalah rakyat Thai bagi menyokong permohonannya untuk mengekstradisi beliau ke negara itu, kata Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar.
"Malaysia mempunyai bukti kukuh bahawa Deraman adalah rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan kemanusiaan mangsa gempa bumi dan tsunami Aceh bernilai RM1.1 juta, di Kuala Lumpur hari ini.
Menurutnya, Thailand juga perlu melalui saluran diplomasi yang betul jika mereka ingin melihat Deraman, yang didakwa sebagai dalang dalam beberapa siri keganasan di Selatan Thailand, diekstradisi.
"Kita tidak mempunyai dokumen yang menunjukkan dia rakyat negara lain. Bila ada negara lain mengatakan (Deraman rakyat mereka), terpulanglah kepada negara itu untuk menunjukkan (bukti)," tegas beliau.
Menurut laporan Bernama , Syed Hamid berkata, penggunaan media dalam usaha mendapatkan ekstradisi Deraman boleh disalah tafsir serta menimbulkan banyak kekeliruan.
Patuhi proses undang-undang
Menurutnya, Kuala Lumpur belum menerima sebarang permohonan rasmi dari Thailand untuk tujuan tersebut.
Beliau berkata, Malaysia dan Thailand mempunyai hubungan rapat serta mekanisme yang mencukupi untuk menyelesaikan sebarang isu.
Dalam soal tahanan tersebut, Syed Hamid berkata, proses undang-undang akan dipatuhi.
Semalam, Menteri Luar Thailand Surakiart Sathirathai dilaporkan sebagai berkata telah meminta Malaysia mengekstradisi Deraman yang kini ditahan di negara ini.
Beliau memberi alasan bahawa Malaysia dan Thailand telah menandatangani perjanjian ekstradisi pada tahun 1911 sewaktu Malaysia masih di bawah pemerintahan Britain.

