Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pertubuhan pendesak Melayu, PERKASA hari ini mengakui bahawa NGO itu kini terbelah dua berikutan sebilangan ahlinya menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Razak manakala selebihnya pula memihak kepada mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali yang membuat pendedahan itu berkata, pepecahan itu terjadi selepas Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali menghadiri Deklarasi Rakyat bagi ‘Selamatkan Malaysia’ pada awal bulan lalu.

“Ahli Umno dalam PERKASA sudah ada kem, sekarang sudah ada ahli Umno keluar PERKASA melalui sidang media dengan aksi memotong kad keahlian PERKASA bagi tunjukkan tidak puas hati kepada presiden dan kepimpinan PERKASA.

“Mereka dakwa PERKASA lari dari perjuangan asal.

“Ada juga yang menyokong Mahathir dan mereka mahu potong kad keahlian Umno melalui sidang media,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PERKASA di Kuala Lumpur hari ini.

Keluar pekeliling

Sementara itu, Syed Hassan turut mendakwa PERKASA parlimen Gombak dan Kuala Langat telah bermesyuarat untuk mengeluarkan kenyataan menyokong kepimpinan Najib dan akan memanggil pengerusi kedua-dua kawasan untuk memberikan penjelasan.

Justeru katanya PERKASA akan mengeluarkan pekeliling untuk melarang mana-mana ahlinya daripada membuat sidang media berhubung perkara itu tanpa mendapat keizinan PERKASA pusat.

"Saya nak ingatkan, nak keluar kenyataan-kenyataan seumpama ini perlu minta kebenaran PERKASA pusat. Kalau nak buat juga, buatlah atas kapasiti sendiri. Ramai sahaja ahli PERKASA yang juga ahli Umno mengapa tidak pakai nama Umno?,"soalnya.

Tegasnya PERKASA selaku NGO pendesak tidak boleh menyatakan sokongan kepada pihak-pihak tertentu secara menyeluruh, sebaliknya memberikan sokongan berdasarkan isu.

Sebelum ini, Ibrahim mengakui beliau hadir ke majlis pemeteraian Deklarasi Rakyat tetapi tidak menandatanganinya kerana "namanya dan PERKASA tidak boleh dipisahkan".

Kata Ibrahim, walaupun mereka yang menandatanganinya atas kapasiti individu "tapi maklumlah zaman Internet, pihak-pihak akan membuat pentafsiran masing-masing".

Pada majlis itu, Mahathir dan pembangkang memeterai deklarasi yang menuntut penyingkiran Najib sebagai perdana menteri.

Antara yang menandatanganinya termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

Lihat Komen
ADS