'Manifesto BN tidak sebut kurangkan plaza tol di Lembah Klang'
Cadangan untuk mengurangkan bilangan plaza tol di Lembah Klang tidak ada di dalam manifesto BN pada kempen pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.
Sebaliknya, beliau berkata, manifesto pilihan raya BN hanya melibatkan aku janji untuk tidak menaikkan kadar tol lebuh raya antara bandar untuk tempoh lima tahun dari 2013 hingga 2018.
Jelasnya, tol lebuh raya antara bandar yang terlibat ialah Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) sahaja.
"Oleh itu, cadangan mengurangkan bilangan plaza tol di Lembah Klang bukan termasuk dalam manifesto BN dalam pilihan raya umum ke-13," katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Hee Loy Sian (DAP-Petaling Jaya Selatan) yang bertanya mengenai usaha kerajaan untuk mengurangkan bilangan plaza tol di Lembah Klang seperti yang dijanjikan pada manifesto BN serta langkah kerajaan untuk mengurangkan kadar tol supaya tidak membebankan rakyat.
Fadillah (BN-Petra Jaya) menjelaskan, sejak 2008 kerajaan telah mula berunding dengan syarikat konsesi lebuh raya bagi mengurangkan beban kewangan tol yang ditanggung pengguna.
Katanya, rundingan yang mengambil pendekatan 'menang-menang' itu mencapai persetujuan untuk menangguhkan kenaikan kadar tol di lebuh raya negara ini sejak lapan tahun lalu- dari 2008 hingga 14 Oktober 2015.
Malah, kutipan tol juga telah dimansuhkan dan penutupan lebih awal lapan plaza tol di enam lebuh raya serta mengurangkan kadar tol yang melibatkan tiga konsesi lebuh raya.
"(Kerajaan telah) menstrukturkan semula kadar tol untuk lebih raya-lebuh raya di bawah konsesi Plus Malaysia Berhad dan Kumpulan ANIH Berhad dan menambah baik klausa-klausa dalam perjanjian konsesi termasuk memperuntukkan klausa mekanisme semakan semula tol iaitu kenaikan kadar tol tidak lagi dibenarkan secara automatik," katanya.

