Saman RM3 juta oleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) terhadap Pengerusi Lawyers for Liberty, Eric Paulsen berhubung kenyataan fitnah yang mengaitkan pertubuhan itu sebagai kumpulan 'ekstremis', diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Peguam Latheefa Koya, yang mewakili Paulsen (gambar), memberitahu media bahawa Isma menarik balik saman itu selepas berpuas hati dengan penjelasan Paulsen yang dinamakan sebagai defendan berhubung kenyataannya di laman Twitter bertarikh 9 Januari tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan merekodkan persetujuan penyelesaian itu di dalam kamar beliau.

Pada 2 September 2015, Isma menfailkan saman melalui pegawai awamnya iaitu Salman Al-Farasi Selamat selepas Paulsen mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah melalui laman Twitter beliau @EricPaulses101.

Pada 22 Oktober 2015, Paulsen pula memfailkan saman balas terhadap Isma dan aktivis Mohamed Hafiz Mohamed Nordin sebagai defendan pertama dan kedua berhubung penerbitan satu artikel bertarikh 9 Februari 2015 di laman web Isma.

Bagaimanapun Paulsen menarik balik saman balasnya terhadap pertubuhan itu tetapi mengekalkan samannya terhadap Mohamed Hafiz dan kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes Isnin ini.

-Bernama