Kementerian Kesihatan sedang menimbang cadangan agar semua lulusan sekolah perubatan luar negara menduduki peperiksaan pelesenan sebelum dibenarkan mendaftar di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kementerian berkenaan sedang mengkaji langkah yang disyorkan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) itu bagi meningkatkan standard amalan perubatan di negara ini.

"Cadangan itu (menduduki peperiksaan pelesenan) menjadi amalan di banyak negara sekarang, antaranya Majlis Perubatan Am United Kingdom mempunyai Peperiksaan Lembaga Profesional dan Penilaian Bahasa.

"Di Amerika Syarikat (AS), mereka mempunyai Peperiksaan Pelesenan AS. Langkah ini akan memastikan semua pengamal perubatan yang ingin beramal di Malaysia perlu memenuhi standard tertentu," katanya dalam kenyataan semalam.

Dr Noor Hisham mengulas kenyataan presiden Doktor-doktor Malaysia untuk Tanggungjawab Sosial (MPSR), Datuk Abdul Hamid Abdul Kadir dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Ashok Philip tentang perkara itu baru-baru ini.

Abdul Hamid berkata kerajaan perlu mempunyai kesungguhan politik bagi mengetepikan sekolah perubatan asing yang tidak memenuhi standard yang ditetapkan daripada senarai sekolah yang diiktirafnya bagi menangani masalah terlalu banyak siswazah, di samping meluaskan moratorium kepada sekolah tempatan.

Dr Ashok bersetuju dengan keputusan kementerian itu untuk meluaskan moratorium itu kepada sektor perubatan berikutan pertambahan kursus dalam bidang kepakaran.

Dr Noor Hisham berkata MMC sedar tentang isu yang ditimbulkan MPSR dan MMA, termasuk mengenai siswazah Malaysia dari universiti asing yang tidak memiliki kelayakan masuk minimum, prestasi lemah doktor muda yang lulus dari universiti luar negara dan penantian panjang oleh doktor muda untuk menjalani latihan sebagai pegawai perubatan siswazah.

Katanya MMC memberi jaminan kepada semua pihak bahawa ia sedar tentang isu berkenaan dan akan mengambil beberapa langkah berhubung perkara itu.

Antaranya ialah mengeluarkan sejumlah universiti dari senarai (universiti yang tersenarai dalam Jadual Kedua Akta Perubatan 1971), selepas cubaan MMC untuk menghubungi mereka tidak berhasil.

Sebahagian daripada universiti berkenaan disenaraikan pada 1970-an dan kebanyakannya sudah menukar status, sedangkan MMC tidak dimaklumkan mengenainya, kata beliau.

Oleh demikian, kata Dr Noor Hisham, lepasan universiti yang tidak tersenarai dalam Jadual Kedua perlu mengambil peperiksaan kelayakan yang dikendalikan MMC dengan bantuan sekolah perubatan tempatan seperti yang disyaratkan di bawah Akta Perubatan.

Beliau berkata MMC juga akan terus menilai standard pendidikan perubatan dan mengesyorkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) langkah untuk meningkatkan kualiti pendidik dalam bidang perubatan.

- Bernama