Kanak-kanak dilarikan bersama kereta ibu
Seorang kanak-kanak perempuan yang ditinggalkan di dalam kereta ibunya di hadapan sebuah kedai runcit di Tambun di Ipoh dilarikan seorang lelaki semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu berlaku apabila wanita terbabit keluar untuk membeli santan dan meninggalkan anaknya berumur tiga tahun di dalam kereta yang tidak berkunci dan enjin masih hidup.
"Selepas membeli santan, wanita itu menuju ke keretanya dan melihat seorang lelaki sedang masuk ke dalam keretanya. Wanita tersebut cuba menghalang tetapi ditolak oleh suspek," katanya ketika dihubungi semalam.
Wanita berumur lingkungan 40-an itu kemudian meminta bantuan daripada beberapa penduduk di situ untuk menghantarnya ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan, katanya.
Beliau berkata kira-kira dua jam kemudian, kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan menangis di tepi jalan di Taman Bunga Raya, Tapah kira-kira 65 kilometer dari Ipoh oleh seorang penduduk.
"Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah dan pihak polis menghubungi ibunya untuk memberitahu anaknya ditemui selamat," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah Supt Som Sak Din Keliaw ketika dihubungi berkata wanita itu mengambil anaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah kira-kira pukul 2 petang semalam.
- Bernama

