Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini 'menyindir' Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini bekerjasama dengan pembangkang.

Malah, Najib berkata, beliau tidak hairan dengan kempen anti-Najib memandangkan semasa Mahathir menjadi perdana menteri, negarawan itu pernah dilabel dengan pelbagai 'nama'.

"Saya tak hairan perkara ini berlaku sebab masa Tun jadi perdana menteri juga macam-macam dilempar pada dia seperti Mahazalim, Mahafiraun dan lain-lain. Tapi sekarang nampak (Mahathir) duduk bersama (pembangkang) pula.

"Sebagai perdana menteri dan rakan dalam pentadbiran, kami tetap istiqamah dan fokus. Apa pun serangan kita jangan hilang hala tuju. Fokus kita tetap komited untuk laksanakan pelaburan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) yang bertanya tentang pendirian perdana menteri tentang kempen anti-Najib yang kini giat dilakukan.

Najib berkata demikian sebagai merujuk kepada tindakan bekas perdana menteri selama 22 tahun itu yang kini bekerjasama dengan parti pembangkang serta NGO untuk menyingkirnya sebagai perdana menteri.
Mahathir merupakan individu lantang mengkritik pentadbiran Najib terutama isu yang melibatkan wang derma RM2.6 bilion dan 1MDB.