Bil MKN tak boleh halang pilihan raya, kata menteri
Pilihan raya tidak boleh digantung mengikut rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.
“Perisytiharaan tersebut tidak akan menghalang pilihan raya diadakan di dalam kawasan tersebut.
"Ia juga tidak akan menjejaskan usaha parti politik untuk berkempen bagi mana-mana pilihan raya," kata Shahidan dalam jawapan bertulis kepada Parlimen semalam.
Beliau menjawab soalan daripada Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) berhubung sama ada pilihan raya masih boleh dijalankan di sesuatu ‘kawasan keselamatan’ yang diisytiharkan oleh MKN.
Shahidan berkata, pengisytiharan ‘kawasan keselamatan’ bukanlah merupakan perisytiharaan darurat dan hanya bertujuan untuk membolehkan pasukan keselamatan menangani ancaman keselamatan di kawasan berkenaan.
Oleh itu, katanya, aktiviti harian di zon itu tidak akan terjejas.
Rang undang-undang kontroversi itu diluluskan oleh Parlimen pada Disember tahun lalu, tetapi masih belum diwartakan.
Sebaik diwartakan, undang-undang itu akan membolehkan pengerusi MKN - iaitu perdana menteri - untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan keselamatan dan menguatkuasakan langkah-langkah kecemasan tanpa melalui prosedur biasa bagi mengisytiharkan darurat.
Aktivis sebelum ini melahirkan kebimbangan bahawa undang-undang itu mudah disalah-gunakan, terutamanya kerana peruntukan mengenai "keselamatan negara" adalah tidak jelas.
Majlis Raja-Raja pada mesyuaratnya mahu rang undang-undang itu diperhalusi manakala Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bersetuju untuk mengkajinya semula.
Rang undang-undang MKN dijangka dibentangkan semula semasa persidangan parlimen kali ini, yang berakhir pada 7 April.

