Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, walaupun terdapat pihak merancang untuk melakukan perhimpunan membantah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, namun kumpulan itu tidak mewakili suara majoriti rakyat.

Beliau berkata, perhimpunan yang akan diadakan pada 27 Mac itu bukan kali pertama diadakan di negara ini.

Justeru, Hishamuddin yang juga menteri pertahanan berkata, pihaknya hanya perlu menghadapi kumpulan yang menganjurkan perhimpunan tersebut tanpa khuatir tentang desakan mereka.

"Pada dasarnya itu satu lagi perhimpunan (biasa). Kita hanya perlu menghadapi perkara itu. (Sebab) akhirnya, orang ramai yang akan membuat perubahan bukan suara yang menjerit paling kuat.

"Mereka mungkin jerit dengan kuat tetapi mereka tidak mewakili suara majoriti," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Dua hari sebelum perhimpunan anti-Najib itu diadakan Majlis Tertinggi Umno dijangka bermesyuarat dan membincangkan tindakan yang mungkin diambil terhadap Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin serta bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Kedua-dua tokoh yang kini berseteru dengan Najib itu hadir ketika Tun Dr Mahathir Mohamad duduk semeja bersama pemimpin pembangkang serta veteran BN membacakan Deklarasi Rakyat mendesak perdana menteri - yang juga presiden Umno - berundur.

Ditanya mengenai keputusan parti terhadap Muhyiddin dan Mukhriz, beliau meminta pemberita supaya menunggu apabila Majlis tertinggi Umno bersidang pada 25 Mac depan.

"Kena tunggu sampai mesyuarat. Kita tidak mewakili Majlis Tertinggi. Saya telah mendapat desakan bukan sahaja daripada Majlis Tertinggi tetapi dari ahli yang lain juga.

"Dan saya juga telah memberitahu perkara yang penting berkaitan perkara ini. Dan saya rasa ia akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi.

"Semua orang boleh berkata apa sahaja yang mereka suka sehingga Majlis Tertinggi membincangkan perkara itu," katanya.

Majlis Tertinggi Umno akan membuat keputusan mengenai nasib Muhyiddin yang kini digantung jawatan dan pemimpin pemberontak lain dalam mesyuarat pada Mac 25 ini.

Antara agenda mesyuarat Majlis Tertinggi pada minggu depan termasuk mengenai tindakan yang bakal diambil terhadap mereka.