Tiada helah di sebalik latihan North Thunder
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan dakwaan kononnya ada motif tersembunyi di sebalik pembabitkan kerajaan Malaysia dalam latihan ketenteraan di Arab Saudi.
"Kalau kita tak terlibat dengan operasi di Yaman, kita tak terlibat dengan operasi di Syria juga.
"Berkaitan dengan kononnya ada sebab lain kita terlibat (dalam latihan), itu tak benar.
"(Mengikut) asas pertimbangan kita, dalam (latihan) North Thunder ini (ia) merupakan situasi 'menang-menang' untuk Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Pertahanan, dan ini bukan perkara baru.
"Tahun ini saja kita terlibat dengan 41 latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat, China, United Kingdom, Australia, Singapura. Dengan Mongolia pun ada.
"(Jadi) apa nak dikaitkan penglibatan kita dengan North Thunder dengan perkara 'spin' politik?" katanya di sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Sebelum itu Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad turut mengadakan sidang media mempersoalkan penglibatan tentera Malaysia dalam operasi North Thunder yang melibatkan tentera dari Arab Saudi dan negara Afrika.
Malah, Raja Kamarul Bahrin juga mempersoalkan sama ada penglibatan ketenteraan itu mempunyai kaitan dengan sumbangan RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa diterima daripada keluarga diraja Arab Saudi.
Selain itu, Hishammuddin berkata Malaysia konsisten tidak akan terlibat dengan operasi di Syria dan juga Yemen.
Jelasnya, tentera negara ini tidak mempunyai kemahiran aset untuk melakukan operasi ketenteraan di kedua-dua negara bergolak berkenaan.
"Pendirian kita, tak terlibat dengan operasi ketenteraan di Syiria dan Yemen. Kita konsisten dari dulu.
"Saya nyatakan Malaysia tidak akan terlibat dan anggota kita di Arab Saudi tak ada kemahiran aset dan tak masuk akal mereka akan digerakkan serta terlibat secara langsung dengan pergerakan di Syria dan Yemen," katanya.
Antara negara lain yang menyertai operasi North Thunder ialah Chad, Mesir, Jordan, Pakistan, Senegal dan Tunisia.
Penyertaan Malaysia dalam latihan ketenteraan itu menyebabkan spekulasi bahawa negara ini akan terlibat dengan operasi ketenteraan menentang pemberontak di Syria dan Yemen.
Bagaimanapun ini dinafikan oleh Hishammuddin.

