K’jaan sedia beri himpunan anti-Najib ‘kelonggaran’
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, walaupun perhimpunan anti-Najib pada Ahad depan dikategorikan sebagai himpunan haram, namun kerajaan tetap memberi 'kelonggaran' terhadap bantahan berkenaan.
Menurutnya, kerajaan tetap memberi ruang kepada perhimpunan anti-Najib seperti mana yang diberikan kepada perhimpunan BERSIH pada Ogos tahun lalu.
"Macam cerita demonstrasi BERSIH dululah, walaupun demonstrasi itu haram, tapi kerajaan tetap bagi ruang kepada BERSIH untuk buat demonstrasi. Akhirnya demonstrasi itu berjalan dengan lancar.
"Kita juga tak nak mengikat mana-mana pihak, tapi pihak tertentu itu kenalah bertanggungjawab supaya apa mereka buat itu tidak akhirnya menjadi satu usaha politik yang menyusahkan ramai orang," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Nur Jazlan ditanya sama ada kerajaan akan membenarkan bantahan bagi mendesak penyingkiran Najib itu diteruskan walaupun Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ia adalah perhimpunan haram.
'Tidak (benarkan perhimpunan). Tetapi jika mereka dapat berjanji untuk memastikan demonstrasi itu berjalan lancar, jadi tak perlu untuk kita hentikan mereka.
“Tetapi akhirnya kita kena lihat sama ada perhimpunan itu sendiri boleh menyebabkan apa-apa masalah seperti masalah kesesakan lalu lintas, beri kecederaan dan sebagainya.
"Jadi pihak polis akan tengok dan jika perlu ambil tindakan, kita akan ambil tindakan," katanya lagi.
Pada 27 Mac depan, satu kongres rakyat akan diadakan di Shah Alam yang diselaraskan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.
Kongres yang akan turut dihadiri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad itu dibuat antara lainnya untuk menggesa Najib meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.
Malah, bekas perdana menteri itu juga telah mengesahkan kehadirannya pada perhimpunan “Muafakat Selamatkan Malaysia” di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah yang akan diadakan keesokan harinya itu.
Perhimpunan pada 28 Mac yang diselaraskan oleh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli itu bertujuan memberi ruang kepada seberapa ramai rakyat menyertainya memandangkan jemputan ke majlis pada 27 Mac adalah terhad.
Mesyuarat dan himpunan berkenaan diadakan serentak dengan pemeteraian Deklarasi Rakyat yang dimulakan oleh Mahathir.
Deklarasi itu membawa bersama kumpulan yang sebelum ini tidak boleh ‘bertentangan mata’ duduk di meja yang sama.
Mahathir dan sekutunya bergabung tenaga dengan pembangkang dan masyarakat sivil semata-mata bertujuan untuk menyingkirkan Najib dan juga melakukan pembaharuan institusi.
[Berita penuh menyusul]

