Ghani: Jangan guna kekaburan undang-undang syariah untuk ke disko
Mereka yang ditahan oleh pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) tidak boleh menggunakan kekaburan undang-undang syariah sebagai alasan untuk membolehkan mereka berkunjung ke pusat hiburan.
Mereka yang ditahan oleh pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) tidak boleh menggunakan kekaburan undang-undang syariah sebagai alasan untuk membolehkan mereka berkunjung ke pusat hiburan.
Ketika menegaskan demikian, Pengerusi sekretariat Himpunan Ulamak Asia, Abdul Ghani Samsuddin berkata Islam sama sekali tidak membenarkan umatnya berkunjung ke tempat yang menggalakkan maksiat, seperti disko dan kelab malam.
"Alasan undang-undang tidak jelas tidak boleh diterima. Mereka sebagai orang Islam patut tahu bahawa tempat sebegitu tidak boleh didekati kerana ianya mendedahkan kita kepada maksiat.
"Mungkin mereka tidak faham tentang dosa pahala, ini masalah pendidikan dan pembudayaan yang terlalu mementingkan keseronokan dan hiburan," katanya ketika malaysiakini hari ini.
Abdul Ghani menegaskan demikian sebagai mengulas isu penahanan 100 orang pengunjung sebuah kelab malam di Kuala Lumpur baru-baru ini dalam satu operasi yang dijalankan oleh Jawi.
Serbuan itu telah menimbulkan kemarahan di kalangan ibubapa remaja terbabit dan badan bukan kerajaan yang mendakwa tindak-tanduk pegawai yang bertugas pada waktu itu telah mengaibkan mereka yang ditahan.
Mereka yang ditahan itu, menuduh sebahagian pegawai yang bertugas waktu operasi itu berkelakuan kurang sopan, kurang ajar dan biadap
Percampuran jantina
Laporan akhbar the Malay Mail semalam berkata tujuh daripada mereka telah berjumpa dengan ketua Puteri Umno Noraini Ahmad bagi membantah penahanan mereka, sedangkan Akta Jenayah syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 kabur tentang kesalahan mereka, .
"Tindakan Jawi tidak patut dikecam kerana mereka hanya mahu menjaga akhlak umat Islam sambil menhalang meraka dari pergi ke tempat-tempat yang mengundangkan kemungkaran seperti pengambilan arak, percampuran lelaki dan perempuan tanpa had dan zina," kata Abdul Ghani.
Badan bukan kerajaan (NGO) seperti Sisters In Islam dan, Women Aid Organisation menyelar Jawi yang kononnya mengambil tindakan secara melulu tanpa mengambil kira maruah mereka yang ditangkap.
Mengulas tentang perkara yang sama, seorang perunding syariah, Zaharuddin Abdul Rahman berkata Islam jelas melarang umatnya daripada berkunjung di tempat hiburan yang mana ada percampuran lelaki dan perempuan.
"Apatah lagi tempat itu menyedia minuman keras, gelap dan memainkan muzik yang melalaikan. Islam melarang pergaulan dengan perempuan yang bukan muhrim juga dilarang kerana untuk menjaga kehormatan umat.
"Saya sedar ada antara mereka yang berkata mereka tidak berbuat apa-apa salah di situ dan hanya berbual bersama rakan. Jika benar baguslah. Namun jika hanya itu (berbual ) yang mereka mahu, kenapa tidak pergi ke tempat yang lebih sesuai dan lebih elok." katanya.
Bila diminta mengulas makna "tempat yang sesuai dan lebih elok", Zaharuddin yang juga fellow Pusat Pengajian Kemodenan dan Masyarakat Bertamaddun, berkata tempat yang terang dan terbuka.
Perlu berhati-hati
"Banyak restoran makanan segera ada di KLCC atau kompleks membeli-belah yang lain. Tempat begini, kalau kita hanya berbual tidak mungkin ada orang yang berburuk sangka," katanya.
Tentang pandangan bahawa orang Islam tidak boleh berburuk sangka, beliau berkata, ia memang benar tetapi pada masa yang sama, "kita tidak boleh melakukan sesuatu yang mengundang sangkaan buruk".
"Dalam kes ini, kelab malam di mana mereka ditahan itu mempunyai rekod yang tidak baik di mana terdapat orang mabuk, lelaki wanita bergaul tanpa batasan. Jadi mereka yang pergi ke tempat sedemikian telah mengundang sangkaan buruk terhadap mereka," katanya.
Zaharuddin yang berkelulusan sarjana dalam Undang-undang Islam dari Universiti Yarmouk, Jordan, juga kesal keana ramai yang menyelar usaha Jawi dalam memelihara akidah remaja Islam di negara ini.
Beliau berkata walaupun usaha Jawi membanteras keruntuhan akhlak patut diteruskan, pegawai-pegawai Jawi perlulah berhati-hati dalam melaksana tugas agar niat baik itu tidak disalah ertikan.
"Jika benarlah ada pegawai Jawi yang menenggking, sengaja melihat tubuh wanita yang ditahan, tidak benarkan mereka ke tandas...perbuatan ini semuanya salah. Mungkin mereka agak emosional atau tidak faham cara untuk berdakwah. Jangan terlalu keras kerana ia boleh menyebabkan orang lari dari kebaikan yang ingin kita lakukan," tambahnya.
Beliau mencadangkan aga pegawai Jawi diberi kursus bimbingan mengenai cara mengendalikan serbuan mengikut tatacara Islam.
"Namun begitu, kita tidak boleh membuat tuduhan melulu tanpa terlebih dahulu mendapatkan penjelasan daripada pegawai terbabit," tambahnya yang juga seorang pendakwah bebas.

