Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Bincang AG di EGM Majlis Peguam mungkin subjudis'
Diterbitkan:  Mar 16, 2016 2:52 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mengalu-alukan tindakan Majlis Peguam Malaysia memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang menutup siasatan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun Presidennya Datuk Zainal Rijal Abu Bakar berkata pihaknya terkejut apabila terdapat usul untuk membincangkan kedudukan peguam negara dalam Mesyuarat Agong Luarbiasa Majlis Peguam Sabtu ini.

"PPMM berpandangan oleh kerana isu ini telahpun difailkan di mahkamah, perbincangan terbuka isu berkaitan boleh menjadi subjudis kepada prosiding di mahkamah kelak dan perlu dielakkan.

"Apabila sesuatu perkara itu masih belum dibuktikan atau tidak dibuktikan di sesebuah mahkamah, adalah menjadi subjudis jika ia dibincangkan secara terbuka di khalayak awam,"katanya pada kenyataan media hari ini.

Subjudis merujuk kepada sesuatu perkara di mahkamah yang masih belum diputuskan.

Menurut Zainal, sekiranya usul itu diteruskan ia mungkin mempengaruhi mahkamah dalam membuat keputusannya.

"Dalam masa yang sama PPMM sedar Majlis Peguam Malaysia juga tidak boleh menghalang mana-mana ahli dari memfailkan sebarang usul yang difikirkan sesuai oleh ahli berkenaan.

"Dalam hal yang demikian adalah amat perlu sebarang perbincangan berkaitan isu tersebut disempadani dengan perhatian ketat agar tidak bersifat subjudis kepada prosising di mahkamah kelak," ujarnya.

Semalam Presiden Majlis Peguam Malaysia Steven Thiru memberitahu pihaknya memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan Apandi untuk tidak meneruskan dakwaan terhadap perdana menteri.

Dalam permohonan itu Majlis Peguam memohon perintah Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan keputusan Apandi pada 26 Januari lalu 'membersihkan' Najib dan mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup siasatan mereka.

Ia berhubung dakwaan Najib menerima deposit sebanyak RM42 juta daripada syarikat SRC International Sdn Bhd dan sumbangan RM2.6 bilion ke akaun bank peribadinya.

Majlis Peguam juga memohon Apandi supaya hilang kelayakan daripada membuat keputusan lanjut berkaitan kes itu.

Lihat Komen
ADS