Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini menafikan dakwaan bahawa kerajaan persekutuan menetapkan tarif harga rumah mampu milik di Pulau Pinang.
Sebaliknya, beliau berkata, harga rumah tersebut ditentukan oleh kerajaan negeri yang kini dipimpin oleh DAP.
"Di kesempatan ini, Saya ingin membetulkan dakwaan yang berhomat Bagan (Lim Guan Eng) dan kenyataan Batu Kawan (Kasthuri Patto) semalam yang mana menegaskan tarif harga rumah mampu milik RM400,000 ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan. Ini adalah satu pembohongan tuan Yang Dipertua.
"Realitinya yang menentukan harga maksimum RM400,000 adalah ditentukan oleh kerajaan negeri DAP di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Bagan, bukan kerajaan persekutuan.
"Kerajaan persekutuan tidak pernah bersetuju rumah mampu milik di Pulau Pinang ditentukan RM400,000. Ini adalah keputusan kerajaan negeri," katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Abdul Rahman yang juga adalah ahli parlimen Kota Belud juga memberitahu, beliau tidak mahu rakyat menuduh Putrajaya meletakkan harga rumah sehingga RM400,000.
"Harga RM400,000 datangnya daripada kerajaan Pulau Pinang sendiri," ujarnya sekali lagi.
Dalam sebuah video yang siarkan di laman Facebook Buletin Mutiara , Lim berkata kerajaan negeri telah mengkritik tentang harga rumah RM400,000 di negeri itu yang dianggap sebagai berpatutan.
"Kami hanya mengikut arahan daripada kerajaan persekutuan. Mereka yang tentukan apa itu rumah mampu milik.
"Rumah mampu milik ialah daripada harga RM72,500 hingga RM400,000. Ini adalah yang ditentukan oleh kerajaan persekutuan. Jadi jangan tanya kami, tanya kerajaan persekutuan," kata Lim yang turut memberitahu kerajaannya itu tidak hanya membina rumah dengan harga RM400,000 itu.
Sementara itu, ketika Abdul Rahman sedang memberikan jawapannya, P Kasthuri (DAP-Batu Kawan) kemudian bangkit dan bertanya mengapa menteri itu hanya bercakap mengenai Pulau Pinang.
Berikutan itu, Abdul Rahman menegaskan bahawa kenyataannya itu sebagai menjawab tuduhan yang dibuat Lim.
"Sebab menteri besar dan ketua menteri (negeri lain) tak macam Bagan (Lim) yang bohong," kata Abdul Rahman.
Selepas itu, Jeff Oii (DAP-Jelutong) pula bangun dengan mengatakan menteri tersebut cuba mempolitikkan isu tersebut.
Bagaimanapun, ia dinafikan oleh Abdul Rahman.
"Saya tak politikkan. Saya tak faham kenapa semua bising," katanya lagi.