Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Projek Warisan Merdeka yang terletak di segitiga emas Kuala Lumpur bakal menjadi mercu tanda baru untuk negara.
Berucap di tapak projek itu hari ini, perdana menteri juga yakin projek milik Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu akan menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya tarikan pelancong.
"Projek ini akan menjadi mercu tanda ikonik baru untuk Malaysia. Projek ini dijangka akan menambah daya tarikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan," katanya.
Fasa pertama projek meliputi pembinaan menara setinggi 118 tingkat dan pusat membeli-belah yang telah dimulakan sejak tahun 2014. Bangunan ini dijangka siap pada tahun 2020 dengan kos pembinaan sebanyak RM5 bilion.
Diberi nama sebagai 'Merdeka PNB 118', menara ini berketinggian 630 meter dan merupakan bangunan kedua tertinggi di Asia serta tersenarai sebagai ' Mega Tall Building' kelima tertinggi di dunia.
Ia terdiri daripada 60 tingkat lantai pejabat yang akan diduduki oleh PNB dan baki 22 tingkat lagi akan dibuka untuk sewaan syarikat tempatan dan antarabangsa.
Sebanyak 18 tingkat lagi merupakan hotel mewah bertaraf enam bintang yang akan menawarkan 236 bilik.
Selain itu, baki 18 tingkat yang lain akan menempatkan lobi udara dan dek pemerhatian.
Sementara itu, Najib berkata projek ini turut mengekalkan dua bangunan warisan yang hebat iaitu Stadium Merdeka dan Stadium Negara bagi membuktikan ciri-ciri kontemporari dan seni bina moden boleh disatukan.
"Pada masa yang sama, pelaburan domestik dan luar negara akan dijana melalui aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dalam sektor perkhidmatan
"Dan juga pembangunan semula kawasan sekitar yang akan meningkatkan nilai hartanah di kawasan Warisan Merdeka dan Bukit Bintang, yang juga sebagai segitiga emas," katanya.
