Seorang bekas ahli parlimen Umno berpendapat bahawa parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) hanya akan menjadi bebanan kepada PAS.

Presiden Persatuan Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata demikian ketika mengulas keputusan PAS hari ini yang mengumumkan bahawa ia akan bekerjasama dengan IKATAN untuk membentuk blok pembangkang baru.

IKATAN, katanya, tidak mempunyai sebarang wakil rakyat dan presidennya, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, tidak pernah menyerlah dari segi arena politik baru.

“Untuk kerjasama sosial okay, tapi sebagai politik saya tidak nampak impak dia. Saya tidak dapat nak lihat manfaatnya.

“IKATAN baru nak bermula, jadi ini mungkin satu bebanan kepada PAS,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat Mubarak di Kuala Lumpur hari ini.

Malah menurut Abdul Aziz, tindakan itu juga akan mengurangkan peluang PAS untuk bergerak dengan pihak lain.

“Saya tidak faham, mengerti kenapa PAS nak masukkan IKATAN. Pasal IKATAN tidak diuji lagi.

“Tak ada manfaatnya bersekongkol dengan IKATAN, tidak nampak pengaruhnya,” katanya.

IKATAN ditubuhkan pada tahun 2012, tetapi hanya yang didaftarkan secara rasmi pada tahun lalu selepas Kadir, yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, mengheret Pendaftaran Pertubuhan (ROS) ke mahkamah.

Parti itu antara lain, bertujuan mahu memperjuangkan idea perdana menteri pertama negara, Tunku Abdul Rahman Putra.