Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peluru hudud tidak akan pisahkan PAS-IKATAN, kata Nasrudin
Diterbitkan:  Mar 16, 2016 8:50 PM
Dikemaskini: 12:58 PM

PAS menganggap isu hudud yang dimainkan sesetengah pihak termasuk media tidak akan menjejaskan kerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) yang baru terjalin, kata Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan.

Beliau menyifatkan tindakan sesetengah pihak melagakan kedua-dua parti itu dengan memainkan isu hudud sebagai tidak bertanggungjawab, malah merupakan tindakan 'tidak celik politik matang'.

"PAS melihat isu hudud yang dijadikan peluru sepanjang zaman untuk menyerang dan merosakkan reputasi PAS tidak akan berkesan untuk digunakan bagi memisahkan gandingan PAS - IKATAN yang baru sahaja memulakan kerjasama politiknya.

"Hanya adu domba dan propaganda murahan yang suka mereka lakukan untuk melariskan media mereka, sedang tindakan itu hanyalah merosakan usaha baik yang mahu digerakkan oleh PAS - IKATAN di mata masyarakat awam yang banyak bergantung kepada laporan media," katanya.

Katanya, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir selaku presiden IKATAN telah menegaskan pada sidang media bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tengahari tadi bahawa IKATAN tidak pernah menolak undang-undang Islam yang diperjuangkan PAS.

"Sebaliknya (IKATAN) menganggap beban kini kembali kepada kerajaan yang memerintah, sementara mereka memiliki majoriti di parlimen, setelah PAS telah pun melunaskan tanggungjawabnya dengan usaha memperkasa mahkamah syariah di parlimen," katanya.

Justeru kata Nasrudin, PAS mengingatkan semua pihak khususnya mereka yang berada di belakang media tertentu agar tidak memecah belah dan melemparkan fitnah kepada parti itu kononnya meninggalkan prinsip perjuangan.

"Sebaliknya prinsip perjuangan PAS akan terus dijulang dan dihormati oleh semua rakan seperjuangan," katanya.

PAS hari ini mengesahkan dalam satu sidang media mengesahkan pembentukan blok baru pembangkang bersama IKATAN.

Dalam sidang media sama, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti itu kini menyerahkan kepada kerajaan persekutuan untuk terus membawa agenda hudud di parlimen - isu yang diperjuangkan parti Islam itu sejak sekian lama.

Takiyuddin memberitahu pemberita tanggungjawab itu sepatutnya datang daripada kerajaan pusat kerana melibatkan pindaan kepada undang-undang persekutuan.

Lihat Komen
ADS