Parti Amanah Negara (AMANAH) khusunya di Kelantan masih mendoakan agar PAS terbuka hati untuk menyertai Pakatan Harapan menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Pengerusi AMANAH Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Malah, tegasnya, AMANAH akan menyertai PRU bukan untuk menewaskan PAS, tetapi sebaliknya untuk mengelak pentadbiran negeri itu jatuh kembali ke tangan BN.

"Sebagai sebuah parti pembangkang yang pernah bersama, dasar buka pintu Pakatan Harapan adalah untuk menerima PAS dan lain-lain parti politik yang sudi bekerjasama dan akhirnya menjadinya pertandingan melibatkan dua penjuru menentang BN," katanya ketika ditemui Malaysiakini di Kota Bharu, semalam.

Justeru, katanya, masih ada lagi harapan dan doa semoga PAS akan sampai ke peringkat bersedia bersama parti dalam kompenan Pakatan Harapan.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan itu berkata, semua parti (pembangkang) perlu mengambil pengajaran daripada sejarah politik lampau untuk meneruskan perjuangan mereka.

"Contohnya di Kelantan kita mempunyai pengalaman dalam PRU 1978, pada waktu itu Umno meraih banyak kemenangan disebabkan parti serpihan PAS iaitu BERJASA menyertai pilihan raya untuk mengalahkan PAS.

"Berbeza dengan BERJASA, AMANAH tidak sertai pilihan raya untuk menewaskan PAS tetapi menyertai pilihan raya untuk mengalahkan BN. Keadaan itu berbeza," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, AMANAH akan memastikan supaya tidak berlaku pertandingan tiga perjuru melibatkan parti itu dan PAS.

"Tetapi sekiranya PAS masih lagi tidak sudi untuk berunding dan beri kerjasama bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru, maka kemungkinan AMANAH akan ambil keputusan bertanding di beberapa kerusi terpilih.

"Kerusi itu adalah kawasan yang kita yakin ada kemampuan untuk menang walaupun lawan tiga penjuru. Antaranya kerusi Parlimen dan DUN Kota Bharu dan Kubang Kerian," jelasnya.

Sementara itu, Abdul Rahim turut yakin PAS sendiri tidak mengambil jalan untuk bekerjasama dengan Umno secara rasmi dalam meneruskan perjuangan mereka.

"PAS tidak akan berani untuk bekerjasama dengan Umno kerana pemimpin mereka tahu jika wujudnya kerjasama antara PAS dan Umno, maka ahli akar umbir tidak akan bersama kedua-dua parti itu lagi.

"Jika keadaan itu berlaku juga akhirnya, maka AMANAH adalah tempat yang akan menjadi tumpuan rakyat," katanya.