Bilangan pendatang asing boleh mencecah lima juta...
Bilangan pendatang asing akan meningkat hampir lima kali ganda dari 1.3 juta kepada lima juta pada tahun 2020 jika negara terus bergantung kepada sumber tenaga asing, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Rahman Bakar.
Bilangan pendatang asing akan meningkat hampir lima kali ganda dari 1.3 juta kepada lima juta pada tahun 2020 jika negara terus bergantung kepada sumber tenaga asing, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Rahman Bakar.
Akhbar Sin Chew Daily memetik beliau sebagai berkata keadaan tersebut akan menyebabkan timbul masalah politik dan sosial di negara ini.
Oleh itu, katanya, Kementerian Sumber Manusia akan meneruskan kursus bagi melatih lebih ramai juruteknik untuk memenuhi permintaan dan keperluan pelbagai sektor.
Di samping itu, kata beliau, pihak berkenaan juga akan membantu melatih golongan kurang upaya supaya mereka juga dapat bekerja.
Mengenai langkah mewajibkan pendatang asing menerima kursus selama 10 hari iaitu 60 jam sebelum memasuki Malaysia, Abdul Rahman menegaskan, negara telah membuat perjanjian dengan 50 negara dan 176 lesen sudah dikeluarkan kepada pelatih pendatang asing di Malaysia.
Sedia timbang permohonan Thai
Nanyang Siang Pau pula melaporkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Malaysia sedia menimbangkan permintaan Thailand untuk mengekstradisikan Abdul Rahman Ahmad @ Deraman Koteh yang ditangkap pada 27 Januari, dengan syarat ia dibuat melalui proses diplomatik yang betul.
Beliau yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata: "Janganlah hanya membuat permintaan melalui media. Jika mahu, mintalah secara diplomatik. Kami akan timbang."
Bercakap kepada pemberita di di lapangan terbang Langkawi setelah menghabiskan lawatan kerja seharinya di sana, Abdullah berkata, perjanjian ekstradisi pernah dimeterai antara penjajah British dengan kerajaan Thai.
"Namun begitu, negara kita telah merdeka, maka kita perlu merujuk kepada perlembagaan negara untuk membuat keputusan," tambahnya.
Manakala Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, kerajaan Thai perlu menunjukkan bukti bahawa Abdul Rahman adalah rakyat negara itu bagi menyokong permohonan mereka.
"Malaysia mempunyai bukti yang mencukupi untuk membuktikan Deraman ialah rakyat Malaysia," ujarnya.
Menurut laporan semalam, Menteri Luar negeri Thai, Surakiart Sathirathai mendakwa negaranya telah membuat permohonan kepada Malaysia supaya menghantar pulang Deraman.

